Hamilton sudah matang

Hamilton sudah matang

MONACO, 26 Mei (AFP) – Lewis Hamilton menjaga maruahnya sebagai juara dunia dengan berhemah apabila mengatasi perasaan kecewa selepas kesilapan taktikal luar biasa oleh pasukan Mercedes menyebabkannya kalah pada Grand Prix Monaco, kelmarin.

Juara dunia dua kali itu yang juga pendahulu kejuaraan pemandu semakin hampir meraih kemenangan selesa di depan rakan sepasukan dan pencabar terdekat Nico Rosberg hinggalah dipanggil ke hentian pit oleh Mercedes bagi menggantikan tayar berikutan kemasukan kereta keselamatan dengan berbaki 15 pusingan. Ia keputusan yang tidak dijangka selepas kelebihan 21 saat dimiliki Hamilton sebaliknya dia terperosok di tangga ketiga, menafikannya kemenangan dan kelebihan 27 mata dalam perebutan kejuaraan. Sebaliknya Rosberg menang dan kini ketinggalan 10 mata di belakang Hamilton selepas enam perlumbaan tahun ini.

Sebelum ini, sebelum Hamilton meninggalkan McLaren untuk menyertai Mercedes pada 2013, dia mungkin melenting dengan keputusan itu namun sebaliknya dia membuktikan kematangan sekalipun ditekan media.

“Saya tidak boleh melahirkan apa yang saya rasa ketika ini jadi saya tidak mahu meluahkannya,” katanya. “Secara jujur, ia berlaku terlalu pantas saya tidak ingat… anda bergantung kepada pasukan anda.”

Pasukan itu mengeluarkan kenyataan memohon maaf dalam apa yang mereka anggap sebagai kesilapan yang tidak boleh diterima. Hamilton menjelaskan, dia percaya lawannya di belakang sudah memasuki pit.

“Saya lihat skrin dan kelihatan pasukan keluar (ke pit),” katanya. “Saya lihat seperti Nico masuk ke pit. Saya fikir pemandu di belakang juga berhenti di pit, jadi apabila pasukan berkata ‘kekal di luar’, saya berkata suhu tayar menurun dan saya menyangka mereka memilih untuk menggantikan tayar lebih keras.

“Jadi, mereka kata ke pit… saya melakukannya dan masuk dengan penuh yakin bahawa pemandu lain juga melakukan perkara sama…”

Keyakinannya tidak berasas. Tiada siapa dalam kalangan pendahulu memasuki pit dan sekali lagi, dia gagal meraih kemenangan kedua bagi menokok kejayaannya pada 2008.

ARTIKEL YANG SAMA