Hamisa sambut baik penubuhan jawatankuasa khas kaji hak Sabah

Hamisa sambut baik penubuhan jawatankuasa khas kaji hak Sabah

TAWAU, 24 Julai – Pembantu Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat Sabah Datuk Hamisa Samat menyambut baik penubuhan jawatankuasa khas bagi mengkaji hak Sabah menerima 40 peratus daripada hasil bersih yang dipungut kerajaan Persekutuan daripada negeri ini.

Beliau berkata penubuhan jawatankuasa khas itu merupakan satu langkah baik dan berita gembira kepada seluruh rakyat di Sabah.

“Kita amat mengalu-alukan langkah menubuhkan jawatankuasa khas berkenaan dan persetujuan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai perkara itu jelas menunjukkan keprihatinan beliau terhadap kebajikan dan pembangunan bagi negeri Sabah.

“Keterbukaan kepimpinan kerajaan Persekutuan jelas membuktikan bahawa suara rakyat Sabah sentiasa diberi perhatian,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Hamisa mengulas laporan mengenai persetujuan Perdana Menteri untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi mengkaji hak Sabah menerima 40 peratus daripada hasil bersih yang dipungut kerajaan Persekutuan daripada Sabah, baru-baru ini.

Jawatankuasa itu juga akan mengkaji secara terperinci beberapa isu lain, terutama hak kewangan daripada royalti minyak dan gas yang kali terakhir dibayar kepada Sabah pada 1974. – Bernama