Hammers serasi di ‘rumah baru’

Hammers serasi di ‘rumah baru’

LONDON, 5 Ogos – Cheikhou Kouyate menjaringkan dua gol bagi membantu West Ham United menewaskan kelab Slovenia, NK Domzale 3-0, kelmarin, sekali gus layak ke pusingan play-off Liga Europa buat kali pertama di laman baru mereka.

Tewas 1-2 dalam aksi pertama pusingan ketiga kelayakan, skuad bimbingan Slaven Bilic mencatat kemenangan secara agregat 4-2 di Stadium London.

Pada perlawanan semalam, Kouyate meledak dua gol di babak pertama sebelum pemain sayap Algeria, Sofiane Feghouli melengkapkan kemenangan bergaya kelab itu di lewat perlawanan.

“Kami tidak mahu terlalu dibuai mimpi kerana tahap lawan kami, tetapi setakat ini, kami bermain dengan baik,” kata Bilic yang lawan skuad bimbingannya bakal ditentukan pada majlis undian, esok.

Midfield West Ham Cheikhou Kouyate (kanan) menewaskan penjaga gol Domzale, Axel Maraval untuk menjaringkan gol di Stadium London kelmarin. – AFP
Midfield West Ham Cheikhou Kouyate (kanan) menewaskan penjaga gol Domzale, Axel Maraval untuk menjaringkan gol di Stadium London kelmarin. – AFP

Mengulas mengenai aksi di laman baharu, Bilic, berkata: “Ia suasana yang hebat dan bunyi yang kuat. Kamu boleh mendengar mereka (penonton) dan merasai kehadiran mereka.

“Tiada gunanya kita membandingkan dengan Upton Park. Ia sama sekali berbeza tetapi ia suasana yang baik,” katanya.

Pernah dikenali sebagai Stadium Olimpik, stadium baharu West Ham yang mempunyai 60,000 kapasiti itu digunakan untuk acara olahraga ketika temasya Olimpik 2012 di London.

Sementara itu, wira Portugal ketika menjuarai Euro 2016, Eder terpaksa akur apabila kelabnya, Lille tersingkir daripada saingan selepas tewas kepada Qabala dari Azerbaijan. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA