Hampir 1 juta terjejas banjir

Hampir 1 juta terjejas banjir

HINTHADA, Myanmar, 11 Ogos – Angka korban akibat banjir besar di Myanmar meningkat kepada 100 setakat hari ini, ketika hampir sejuta penduduk terjejas dalam bencana tersebut.

Akhbar Global New Light of Myanmar melaporkan, lebih 486,000 hektar sawah padi ditenggelami air dengan lebih 173,720 hektar daripadanya musnah sama sekali. Bantuan antarabangsa juga semakin banyak diterima beberapa hari ini selepas kerajaan mengemukakan rayuan.

Banjir kali ini diburukkan lagi oleh Taufan Komen yang membadai minggu lalu dan turut menyebabkan kerosakan besar di wilayah Rakhine.

Hampir 12 negeri di Myanmar terjejas teruk dan kebanyakan kematian yang dicatatkan adalah di wilayah Rakhine.

Akhbar sama melaporkan, paras air di Sungai Irrawaddy dan Ngawun telah menurun sedikit semalam, tetapi kekal pada paras bahaya. Penduduk yang tinggal di kawasan rendah juga diarahkan berpindah ke kawasan yang lebih tinggi. – AFP