Hampir 100 pengusaha hadiri j’wara perniagaan

Hampir 100 pengusaha hadiri j’wara perniagaan

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 24 Ogos – Sebagai langkah memberigakan kepada orang ramai mengenai inisiatif-inisiatif yang telah dibuat oleh Kementerian Kewangan dalam memudahkan menjalankan perniagaan, Jerayawara Ease of Doing Business telah diteruskan lagi hari ini, dengan kali ini diadakan di Dewan Persidangan, di sini.

Jerayawara tersebut yang akan turut diadakan di Daerah Tutong pada 14 September nanti dan Daerah Temburong pada 21 September, telah diisikan dengan penyampaian taklimat daripada beberapa buah agensi kerajaan lainnya.

Antara lain taklimat yang disampaikan adalah maklumat mengenai atur cara berkaitan memudah cara perniagaan merentas sempadan, peruntukan undang-undang untuk memberikan perlindungan kepada pihak-pihak minoriti, perubahan-perubahan berkaitan pembayaran cukai, proses penyelesaian bagi syarikat-syarikat yang melalui ketidaksolvenan dan peraturan memudahkan proses memulakan perniagaan.

Hampir 100 orang dalam kalangan pengusaha di daerah ini telah menghadiri majlis tersebut yang melibatkan penyertaan Jabatan Perbendaharaan, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja, Tabung Amanah Pekerja, Bahagian Hasil dan Bahagian Pendaftaran Syarikat-syarikat dan Nama-nama Perniagaan, termasuk beberapa agensi-agensi yang berkepentingan seperti Unit Ease of Doing Business di Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Jabatan Pelabuhan, Jabatan Perkhidmatan Pos dan Darussalam Enterprise (DARE).

Melalui jerayawara tersebut juga telah dimaklumkan bahawa Klinik Vendor Jabatan Perbendaharaan akan mula disediakan di cawangan daerah-daerah lain bermula 29 Ogos 2016.

Antara wakil agensi-agensi kerajaan yang terlibat menyampaikan taklimat pada Majlis Jerayawara Memudah cara Perdagangan.
Antara wakil agensi-agensi kerajaan yang terlibat menyampaikan taklimat pada Majlis Jerayawara Memudah cara Perdagangan.
Antara kakitangan salah sebuah agensi kerajaan yang terlibat dalam Jerayawara Memudah cara Perdagangan yang diadakan di Dewan Persidangan, Kuala Belait.
Antara kakitangan salah sebuah agensi kerajaan yang terlibat dalam Jerayawara Memudah cara Perdagangan yang diadakan di Dewan Persidangan, Kuala Belait.

Penyediaan Klinik Vendor tersebut dihasratkan untuk memudahkan lagi syarikat-syarikat dan pembekal untuk mengatur perjumpaan dengan pihak Jabatan Perbendaharaan bagi mengetahui status pembayaran ke atas perkhidmatan/pembekalan yang telah diberikan kepada pihak kerajaan, di samping untuk mendapatkan maklumat-maklumat mengenai proses pemerolehan dan pembayaran kerajaan.

Beberapa orang yang sempat ditemui Media Permata pada majlis tersebut memberitahu, melalui jerayawara tersebut mereka telah berpeluang mendapat maklumat lebih terperinci mengenai perkhidmatan dan usaha-usaha pembaikan bagi memudah cara perniagaan yang dilaksanakan oleh Kementerian Kewangan dan agensi-agensi lain yang turut serta dalam jerayawara ini.

Sementara itu, seorang lagi yang hadir memberitahu, jerayawara tersebut amat bermanfaat kepada peniaga-peniaga terutamanya dalam kalangan belia yang ingin melibatkan diri dalam perniagaan, dan mencadangkan supaya jerayawara seumpamanya pada masa-masa akan datang akan melibatkan kehadiran kalangan belia-belia dan beliawanis.

Menurutnya mereka lagi, dengan adanya penjelasan seperti itu, ia akan dapat mempermudahkan pengurusan perniagaan seharian dengan lebih cepat dan mudah, dan dalam masa yang sama mampu memperluaskan lagi aktiviti perniagaan ke tahap yang lebih meluas termasuklah antarabangsa.

ARTIKEL YANG SAMA