Hampir 100,000 kereta proton ditarik balik

Hampir 100,000 kereta proton ditarik balik

SHAH ALAM, 16 Feb – Proton Holdings Bhd akan memanggil balik hampir 100,000 unit model Exora, Preve dan Suprima untuk membaiki hos penyejuk minyak CFE bermula hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Abdul Harith Abdullah, berkata model-model ini berhadapan dengan masalah hos penyejuk minyak yang akan pecah selepas kereta mencapai perbatuan purata sebanyak 40,000 kilometer (km), disebabkan oleh degradasi bahan hos tersebut.

“Kami akan menghubungi para pemilik dan keutamaan akan diberikan kepada kereta dengan perbatuan 40,000 km dan ke atas. Kami berharap masalah ini akan selesai dalam tempoh enam bulan akan datang,” katanya kepada pemberita pada majlis prebiu Proton Perdana yang baharu di sini hari ini.

Turut hadir ialah Pengerusi Proton Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau juga mengumumkan, tempahan telah dibuka untuk model Perdana baharu yang dijangka dilancarkan pada suku pertama tahun ini dan berharga di antara RM100,000-RM150,000.

Kereta-kereta dipanggil balik bagi membaiki hos penyejuk minyak CFE yang bermasalah.– Reuters
Kereta-kereta dipanggil balik bagi membaiki hos penyejuk minyak CFE yang bermasalah.– Reuters

Kos pembangunan untuk model itu juga agak rendah iaitu kira-kira RM200 juta berikutan penggunaan platform sedia ada.

Beliau berkata model baharu itu diharap dapat membantu pengeluar kereta nasional itu mencapai sasaran jualan 2016 di antara 100,000-150,000 unit.

“Dengan Perdana baharu yang akan datang ini (kepada pasaran), bersama-sama dengan model-model lain dalam perancangan (yang akan dilancarkan tahun ini), kami percaya kami boleh mencapai sasaran jualan kami pada tahun ini,” katanya. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA