Hampir 20 aset dirampas

Hampir 20 aset dirampas

WASHINGTON, 21 Julai – Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (AS) mengambil langkah untuk merampas aset bernilai lebih AS$1 bilion yang berkaitan dengan dana kerajaan yang ditubuhkan oleh perdana menteri Malaysia, yang memberi gambaran serius tentang penipuan ‘besar-besaran’.

Tindakan mahkamah yang difailkan semalam memberi tekanan baru ke atas Perdana Menteri Najib Razak, dengan dokumen mahkamah yang membuat rujukan telus terhadapnya sebagai orang yang mendapat faedah dalam tuduhan mencuri lebih AS$3.5 bilion oleh anak tiri Najib, rakan keluarga dan beberapa orang pegawai.

Aset-aset yang menjadi sasaran itu dipercayai telah dibeli dengan wang curi dari dana pelaburan kerajaan 1MDB dan termasuklah hasil karya seni, hartanah mewah AS, dan sebuah jet perniagaan.

Anak tiri lelaki Najib, Riza Azis juga menggunakan lebih AS$100 juta dalam dana yang disyaki untuk membiayai filem Martin Scorses 2013 ‘The Wolf of Wall Street’ yang dibintangi oleh Leonardo DiCaprio, menurut Jabatan Keadilan.

“Jabatan Keadilan tidak akan membiarkan sistem kewangan Amerika digunakan sebagai saluran rasuah,” kata Peguam Negara AS, Loretta Lynch.

Najib Razak (tengah) semasa menghadiri satu majlis di Kuala Lumpur pada 21 Julai. Singapura mengatakan pada 21 Julai, ia telah merampas hampir AS$180 juta berkaitan dengan dana 1MDB, menambah lagi tekanan sehari selepas Washington bertindak merampas aset bernilai lebih AS$1 bilion. – AFP
Najib Razak (tengah) semasa menghadiri satu majlis di Kuala Lumpur pada 21 Julai. Singapura mengatakan pada 21 Julai, ia telah merampas hampir AS$180 juta berkaitan dengan dana 1MDB, menambah lagi tekanan sehari selepas Washington bertindak merampas aset bernilai lebih AS$1 bilion. – AFP

Perampasan aset itu adalah yang terbesar di bawah Usaha Pemulihan Aset Kleptokrasi 2020, Washington, yang menyasarkan perolehan pemimpin-pemimpin dunia secara haram yang melalui AS.

1MDB, atau 1Malaysia Development Berhad, telah ditubuhkan dalam tahun 2009 oleh Najib dan dikawal oleh beliau dalam peranan serentak sebagai menteri kewangan. Dananya adalah untuk dilaburkan dalam projek-projek pembangunan ekonomi.

“Rakyat Malaysia ditipu secara besar-besaran,” kata Timbalan Pengarah FBI Andrew McCabe.

Najib berulang kali menolak dakwaan salah laku sebagai serangan politik oleh penentang tempatannya, dan telah bertindak menghalang penyiasatan yang diketuai oleh Malaysia.

Jurucakap beliau memberi respons kepada tindakan AS dengan hari ini menekankan bahawa pihak berkuasa Malaysia tidak mendapati beliau melakukan salah laku, sementara berjanji akan bekerjasama dengan mana-mana penyiasatan antarabangsa.

“Seperti yang selalu dipertahankan oleh Perdana Menteri, jika sebarang salah laku terbukti, undang-undang akan dilaksanakan tanpa pengecualian,” kata jurucakap itu.

Pendakwa berusaha untuk merampas royalti-royalti filem dari syarikat penerbitan yang dimiliki oleh anak tiri Najib, Red Granite, termasuk yang dihasilkan oleh ‘The Wolf of Wall Street’.

Hampir 20 aset lain juga disasarkan, termasuk hartanah mewah di Beverly Hills, New York, dan London, karya seni oleh Monet dan Van Gogh, dan jet perniagaan Bombardier Global 5000.

Rakan keluarga Najib Low Taek Jho atau ‘Jho Low’ yang membantu menubuhkan 1MDB, melaburkan beratus-ratus juta ke AS untuk membiayai pembelian seumpamanya dan gaya hidup mewah.

Dalam jangka masa lapan bulan pada tahun 2009-2010, Low dipercayai memindahkan AS$85 juta ke kasino di Las Vegas.

Najib tidak dinamakan secara langsung dalam pemfailan itu, namun mereka merujuk kepada ‘Pegawai No.1 Malaysia’, yang digambarkan sebagai ‘pegawai berpangkat tinggi’ dengan kawalan ke atas 1MDB. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA