Hampir 200 kereta dipamerkan

Hampir 200 kereta dipamerkan

Oleh Siti Nur Wasimah S.

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Sept – Hampir 200 buah kereta klasik, retro dan lama daripada pelbagai jenama membanjiri sepanjang kawasan Dermaga Diraja, di ibu negara, pada Majlis Pameran dan Perhimpunan Nostalgia 2016 pagi tadi.

Hadir bagi melancarkan perhimpunan kereta itu ialah Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Haji Muhammad Sunadi bin Haji Buntar.

Perhimpunan kereta itu merupakan kali kedua diadakan oleh Persatuan Kenderaan Bermotor Nostalgik Brunei yang bermula pada jam 8 pagi sehingga 4 petang.

Presiden Persatuan Kenderaan Bermotor Nostalgik, Awang Mohd Riff Rahimie bin Alipin semasa ditemui menjelaskan bahawa majlis itu diadakan bagi menyatukan semua pemilik kereta lama, klasik dan vintaj di bawah satu persatuan atau pertubuhan selain mengeratkan silaturahim antara pemilik dan mana-mana kumpulan yang ada di negara ini dan juga di luar negara seperti Negeri Sabah dan Sarawak, Malaysia.

Di samping itu, perhimpunan ini juga akan dapat memberikan peluang kepada para pemilik kereta untuk bertukar-tukar fikiran dan pandangan serta berkongsi pengalaman antara sesama mereka yang mempunyai minat sama.

Tetamu kehormat semasa menyaksikan kereta yang dipamerkan.
Tetamu kehormat semasa menyaksikan kereta yang dipamerkan.
Pemilik kereta Chevrolet Impala yang menyertai perhimpunan itu.
Pemilik kereta Chevrolet Impala yang menyertai perhimpunan itu.

Beliau menjelaskan lagi, kereta-kereta vintaj, klasik dan juga retro yang dipamerkan berkenaan rata-ratanya telah berusia lebih 25 tahun.

Perhimpunan tahun ini, jelasnya lagi, turut mempertandingkan 10 kategori iaitu Kategori Kenderaan Terbaik Keseluruhan, Kategori Kenderaan Dua Pintu Terbaik, Kategori Kenderaan Empat Pintu Terbaik, Kategori Kenderaan Wagon Terbaik, Kategori Badan Kenderaan Asli Terbaik, Kategori Ruang Enjin Terbaik, Kategori Kenderaan Dalaman Terbaik, Kategori Kenderaan Vintaj Terbaik, Kategori Kenderaan Klasik Terbaik dan Kategori Kenderaan Retro Terbaik.

Penyampaian hadiah kepada para pemenang telah diadakan pada sebelah petang dan telah dihakimi oleh dua orang hakim jemputan dari Malaysia.

Awang Mohd Riff Rahimie menyatakan bahawa Persatuan Kenderaan Bermotor Nostalgik ditubuhkan pada tahun 2012 dan kini telah mempunyai 27 orang ahli persatuan.

Perhimpunan sehari itu menyaksikan puluhan orang ramai termasuk para peminat kereta berkunjung bagi melihat lebih dekat lagi kereta-kereta retro yang jarang lagi dilihat daripada pelbagai pembuat kereta termasuk Datsun, Toyota, Volkswagen, Suzuki, Honda dan banyak lagi. Dalam pada itu, pelbagai jenis jualan makanan dan minuman turut diadakan.

ARTIKEL YANG SAMA