Hampir 300 malim bawa haluan

Hampir 300 malim bawa haluan

KUNDASANG, 14 Julai (Bernama) – Semua malim Gunung Kinabalu yang jumlahnya hampir 300 orang dan hilang punca pencarian ekoran kejadian gempa bumi 5 Jun lalu kini membawa haluan masing-masing mencari rezeki untuk memenuhi keperluan keluarga.

Pengerusi Persatuan Malim Gunung Kinabalu, Richard Soibi berkata sejak Taman Kinabalu ditutup kepada semua aktiviti pendakian akibat gempa bumi 5.9 skala Richter, semua malim terpaksa mencari alternatif sumber pendapatan bagi menampung keperluan harian.

Menurut Richard terdapat malim mengambil keputusan bekerja sendiri seperti menanam sayur dan ada juga bekerja mengambil upah seperti membersih parit serta pelbagai pekerjaan yang boleh membawa pulangan.

“Memang kami terkejut kerana hilang punca pendapatan secara tiba-tiba dan tanpa diduga. Apa boleh buat. Ini bukan kehendak kita tetapi ketentuan Tuhan.

“Sementara menunggu Taman Kinabalu dibuka semula untuk aktiviti pendakian, semua malim kini membawa diri masing-masing untuk mencari rezeki,” katanya kepada Bernama.

Apabila ditanya pandangannya jika ada pihak ingin menawarkan mereka pekerjaan sambilan sementara mereka menunggu aktiviti pendakian Gunung Kinabalu dibuka semula, Richard berkata: “kecil tapak tangan nyiru kami tadahkan”.

Sejak kejadian gempa bumi pada 5 Jun lalu itu, Malim Gunung Kinabalu menerima pelbagai bentuk sumbangan, termasuk dalam bentuk wang ringgit hasil derma orang ramai, pertubuhan bukan kerajaan dan badan-badan korporat, daripada pelbagai pihak dan disalurkan melalui Persatuan Malim Gunung Kinabalu.

Satu daripada penyumbang berkenaan ialah Biro Kebajikan UMNO Malaysia yang menyalurkan bantuan kewangan berjumlah RM561,000 kepada kira-kira 252 Malim Gunung Kinabalu bagi meringankan beban kewangan mereka selama tiga bulan sementara menunggu operasi pendakian gunung dibuka semula.

Pengerusi Biro Kebajikan UMNO Malaysia Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata sejumlah RM187,000 akan disalurkan setiap bulan, mulai bulan ini.

“Setiap malim gunung yang aktif diberi RM800, manakala yang separa aktif akan menerima bantuan kewangan ini sebanyak RM400,” kata Abdul Azeez kepada pemberita selepas menyerahkan bantuan kewangan bulan pertama kepada malim gunung pada 7 Julai lalu di Kundasang.

Sebelum ini Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Seri Masidi Manjun mengumumkan kemungkinan aktiviti pendakian Gunung Kinabalu dibuka semula mulai 1 September ini namun pembukaan itu juga bergantung pada keadaan keselamatan di gunung berkenaan.