Hampir 3,000 kebakaran hutan dalam masa 10 hari

Hampir 3,000 kebakaran hutan dalam masa 10 hari

MARANG, 11 April (Bernama) – Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Malaysia merekodkan sebanyak 2,940 kes kebakaran melibatkan hutan dan belukar di seluruh negara dalam tempoh 10 hari pertama bulan ini.

Ketua Pengarahnya Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim berkata jumlah itu menunjukkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya dan tidak menolak kemungkinan ia disebabkan fenomena El Nino di samping faktor kemanusiaan seperti melakukan pembakaran terbuka.

“Tahun lalu sebanyak 1,708 kes kebakaran hutan dicatatkan dalam tempoh sebulan…namun ini dalam tempoh 10 hari telah cecah hampir 3,000 kes dan ianya agak tinggi.

“Pada Mac lepas sahaja, sebanyak 8,914 kes kebakaran hutan dilaporkan di seluruh negara,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT) di sini, Isnin.

Menurutnya dalam tempoh 10 hari itu juga, Sabah mencatatkan jumlah paling tinggi iaitu 457 kebakaran diikuti Johor (380), Perak (353) dan Kedah (255).

Katanya pada 2014, trend kebakaran hutan menurun dan hanya berlaku sekitar Febuari hingga Mac.

“Kita dapati tahap kesedaran manusia masih rendah, ada yang masih melakukan pembakaran terbuka selain membakar di kawasan pertanian dan sebagainya,” katanya.

Sementara itu, Pengarah JBPM Pahang Datuk Abd Wahab Mat Yasin yang turut hadir di majlis tersebut, menjangkakan kebakaran hutan berhampiran Sungai Ular, Kuantan dapat dipadamkan sepenuhnya dalam masa dua hari lagi.

Katanya bomba telah berjaya memadamkan kira-kira 100 ekar dan pihaknya masih meneruskan operasi bagi memadamkan 70 ekar lagi kawasan yang terjejas.

Kebakaran yang bermula Khamis lalu itu merebak ke kawasan tengah hutan sehingga menimbulkan kesukaran kepada anggota bomba melakukan kerja memadam api.

Operasi itu turut dibantu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dengan melakukan penyemburan air dari udara menggunakan pesawat Bombadier CL 415 MP.