Hampir 400 pelajar Belait tunjuk semangat gotong-royong

Hampir 400 pelajar Belait tunjuk semangat gotong-royong

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 7 Jun – Hampir 400 pelajar mewakili 10 buah sekolah di Daerah Belait turut meraikan Hari Alam Sekitar Sedunia yang jatuh pada 5 Jun lalu, dengan melibatkan diri dalam kerja gotong-royong membersihkan lima buah kawasan termasuk kawasan pantai, di sini, hari ini.

Dengan tujuan untuk memberikan kesedaran tentang pentingnya menjaga kebersihan alam sekitar, kempen itu turut disertai oleh kalangan ibu bapa pelajar dan guru-guru.

Sekolah-sekolah yang terlibat termasuk Sekolah Panaga BSP, Sekolah Menengah (SM) Sayyidina Ali, Sekolah Rendah (SR) Sungai Liang, SR Ahmad Tajuddin, SR Panaga, SR PSN Seria, SM Chung Hua, Sekolah St John, Sekolah St Angela dan Sekolah Hornbill.

Di samping itu, ia turut disertai beberapa orang pegawai daripada Syarikat BSP Sdn Bhd dan PPT Engineering.

Kawasan Taman Jubli Kuala Belait mencatatkan jumlah peserta paling ramai iaitu 170 pelajar selain turut dijadikan tempat perasmian yang telah disempurnakan oleh Pegawai Daerah Belait, Haji Haris bin Othman.

Para pelajar yang menyertai kempen kebersihan di kawasan taman dan tepi pantai.
Para pelajar yang menyertai kempen kebersihan di kawasan taman dan tepi pantai.

Turut hadir ialah Timbalan Pengarah Urusan BSP, Haji Kamaluddin.

Kempen pembersihan itu turut melibatkan kawasan pantai di Taman Jubli Kuala Belait dan kawasan Tugu Kenangan Kesebilion Tong, Seria dan Pantai Sungai Liang.

Penganjurnya, guru dari Sekolah Menengah Sayyidina Ali, Tania Jo Murphy, Ketua Guru Sekolah Panaga BSP, Awang Cindy bin Tahal, dan Presiden Beach Bunch, Awang Rizan Latif menyatakan kempen seperti itu merupakan antara pendidikan berterusan kepada para pesertanya untuk sentiasa mengutamakan kebersihan dan akan sentiasa membudayakan diri dengan amalan prihatin terhadap alam sekitar.

ARTIKEL YANG SAMA