Hampir 400 terperangkap di pergunungan Indonesia

Hampir 400 terperangkap di pergunungan Indonesia

JAKARTA, 28 Sept – Para penyelamat di Indonesia hari ini dihantar untuk memindahkan hampir 400 orang pelancong, kebanyakan mereka warga asing, selepas sebuah gunung berapi meletup di salah sebuah destinasi pengembaraan berjalan kaki paling popular di negara itu, menurut seorang pegawai.

Gunung Barujari mula meletup lewat tengah hari semalam, mengeluarkan kepulan abu dan asap menjulang 2 kilometer ke ruang udara pulau Lombok, tempat tumpuan pelancong ke timur Bali.

Hampir 400 orang dicatatkan melakukan pengembaraan berjalan kaki berhampiran Barujari – kon lebih kecil dalam kawah Gunung Berapi – apabila ia mula meletup, yang mengakibatkan rancangan bagi pemindahan mereka serta-merta, kata jurucakap agensi bencana negara, Sutopo Purwo Nugroho.

“Sebuah pasukan penyelamat telah dihantar ke Gunung Rinjani untuk memindahkan para pelancong. Mereka bergerak pada sebelah pagi ini,” menurutnya lagi.

Mereka yang melakukan pengembaraan berjalan kaki dimaklumkan supaya menjauhi pada jarak kira-kira 3 kilometer dari persekitaran gunung berapi, tarikan utama di trek berhari-hari ke puncak Gunung Rihjani yang dilakukan oleh beribu-ribu pelancong setiap hari.

Letupan dari Gunung Barujari dilihat dari Bayan, Pulau Lombok, Indonesia kelmarin. – AP
Letupan dari Gunung Barujari dilihat dari Bayan, Pulau Lombok, Indonesia kelmarin. – AP

Nugroho berkata 389 orang dicatatkan telah memasuki taman negara sejak Ahad lalu, majoriti kebanyakkan mereka adalah warga asing.

Sementara kebanyakan mereka telah mengambil laluan rasmi ke puncak itu, pasukan penyelamat mensyaki sebilangan mereka mungkin telah berada di luar trek itu, tambahnya lagi.

Tahap ancaman gunung berapi dinaikkan semalam ketika Barujari mengeluarkan kepulan asap dan abu panas ke atmosfera, tetapi dua tahap dari kategori berisiko tinggi.

Tidak ada gangguan penerbangan dicatatkan hari ini disebabkan kepulan abu itu, jurucakap kementerian pengangkutan Hemi Pramuraharjo memberitahu AFP.

Sebilangan penerbangan pergi dan dari pulau peranginan berhampiran, iaitu Bali telah dibatalkan semalaman, tetapi lapangan terbang antarabangsa Lombok tidak terjejas. – AFP