Hampir 40,000 keluarga miskin sertai 1AZAM

Hampir 40,000 keluarga miskin sertai 1AZAM

KUCHING, 17 Jan – Hampir 40,000 keluarga miskin di Sarawak mendapat manfaat daripada program pembasmian kemiskinan 1AZAM yang diwujudkan untuk membantu menjana pendapatan dan meningkatkan taraf hidup golongan itu sejak 2011 hingga 2015.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Sarawak Datuk Fatimah Abdullah berkata program pembasmian kemiskinan itu menyasarkan 38,400 keluarga miskin.

“Kami berjaya bantu 39,919 keluarga miskin. Daripada jumlah itu, 8,319 keluarga berjaya keluar daripada kategori miskin dan miskin tegar.

“Walaupun bantuan kepada setiap keluarga tidak melibatkan jumlah besar, namun program itu memberi impak berkesan terhadap keluarga terbabit serta komuniti,” katanya pada majlis pelancaran karnival 1AZAM di sini oleh Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem.

Menurut Fatimah, setakat 5 Januari lepas, kira-kira 109,410 ketua isi rumah mendaftar di bawah program e-kasih di negeri itu. Jumlah itu, katanya, merangkumi 35,065 keluarga miskin, 29,588 miskin tegar dan 7,527 keluarga hampir miskin. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA