Hampir $60,000 untuk DANA

Hampir $60,000 untuk DANA

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Jun – Sumbangan derma untuk Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah untuk Anak-anak Yatim (DANA) bukan sahaja meringankan bebanan mereka tetapi juga digunakan untuk melaksanakan program bagi membantu perkembangan mereka.

Oleh itu, sumbangan yang disampaikan oleh Persatuan Fuzhou Shiyyi (Brunei), Sekolah St John’s dan Persatuan Masyarakat Indonesia Brunei (PERMAI) kepada DANA dengan jumlah keseluruhan sebanyak $58,244.93 amat dialu-alukan dan amat dihargai, kata Menteri Pendidikan selaku Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah DANA, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman, hari ini.

“Kami menyeru mana-mana persatuan yang ingin menderma, kita mengalu-alukan derma daripada pihak mereka untuk DANA ini,” ulas beliau selepas Majlis Penerimaan Sumbangan Bagi DANA di Dewan Utama, Aras Bawah, Jabatan Perkembangan Kurikulum, Bangunan Baru, Kementerian Pendidikan.

Katanya, pihak DANA terus berusaha merangka pelbagai usaha dan penyelesaian jangka panjang untuk membantu anak-anak yatim.

Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi bergambar ramai dengan para penderma pada majlis penerimaan sumbangan derma DANA itu.
Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi bergambar ramai dengan para penderma pada majlis penerimaan sumbangan derma DANA itu.
Dr Teh Ken Watt (kiri) menerima sijil penghargaan daripada Yang Berhormat Pehin (kanan).
Dr Teh Ken Watt (kiri) menerima sijil penghargaan daripada Yang Berhormat Pehin (kanan).
Jackson Ting (kiri) menyampaikan sumbangan bagi DANA kepada Yang Berhormat Pehin (kanan).
Jackson Ting (kiri) menyampaikan sumbangan bagi DANA kepada Yang Berhormat Pehin (kanan).

Beliau turut menyatakan penghargaan kepada Persatuan Fuzhou Shiyyi serta ahli persatuan yang amat bermurah hati untuk menyumbangkan derma bagi kali kedua di mana sumbangan sebanyak $55,789 merupakan jumlah terbanyak yang disumbangkan oleh sebuah persatuan kepada DANA.

Sumbangan Persatuan Fuzhou Shiyyi disampaikan oleh ahli persatuan berkenaan dengan didahului oleh Presiden persatuan, Jackson Ting dan diikuti oleh ahli persatuan.

Sumbangan Sekolah St John’s sebanyak $1,455.93 disampaikan oleh pengetuanya, Dr. Teh Ken Watt dan sumbangan PERMAI berjumlah $1,000 pula telah disampaikan oleh Presiden persatuan, Dida Gustiawan.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Pengarah Urusan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB) yang juga selaku Ketua Pegawai Eksekutif DANA, Haji Brahim bin Haji Ismail, penolong pengarah urusan dan para pegawai YSHHB.

ARTIKEL YANG SAMA