Hampir 70 pain darah berjaya dikumpul

Hampir 70 pain darah berjaya dikumpul

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 14 Julai – Hampir 70 pain darah telah berjaya dikutip melalui Kempen Derma Darah anjuran Pusat Penderma Darah, Perkhidmatan Makmal, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) yang telah diadakan di kawasan legar Pusat Membeli-Belah KBSentral, di sini, hari ini.

Kempen derma darah diadakan secara berterusan dengan tujuan untuk menambahkan tabung darah hospital berkenaan, yang sentiasa diperlukan bagi menyelamatkan nyawa pesakit yang memerlukan, termasuklah mereka yang terlibat dalam kemalangan, sakit kronik, anak damit yang belum cukup bulan kelahiran dan sebagainya.

Di samping itu, kempen derma darah itu juga dihasratkan untuk mencapai keberkesanan yang positif ke arah kesedaran masyarakat dan orang ramai, dalam sama-sama menunaikan tanggungjawab membantu mereka yang memerlukan di negara ini, menerusi pendermaan darah mereka yang sihat dan mematuhi keperluan menderma darah oleh pihak perubatan.

Orang ramai yang berkesudian mendermakan darah masing-masing ketika kempen itu dijalankan.
Orang ramai yang berkesudian mendermakan darah masing-masing ketika kempen itu dijalankan.

Selain itu, terus memberikan kesedaran kepada orang ramai untuk benar-benar memahami akan keperluan semasa dan juga iklim negara kerana ibarat pepatah ‘sejumlah darah yang didermakan boleh menyelamatkan nyawa’.

Kempen ini telah diadakan dengan kerjasama pihak pusat membeli-belah KBSentral, dan bermula dari pukul 10 pagi tadi. Ia dibukakan bagi penyertaan orang ramai terutama sekali pengunjung di pusat beli-belah berkenaan, yang telah lulus melalui pemeriksaan kesihatan yang diadakan secara spontan di kawasan kempen berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA