Hampir jadi mangsa penipuan

Hampir jadi mangsa penipuan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Jun – Seorang wanita warga emas berusia 76 tahun, Puan Lee, hampir menjadi mangsa penipuan dan hampir kehilangan wang tunai serta barang kemasnya dalam kejadian yang berlaku pagi tadi di Gadong.

Anak wanita berkenaan, Ah Ming, yang menceritakan peristiwa yang menimpa ibunya kepada wartawan Media Permata berkata, ibunya sedang membeli ikan di pasar di Gadong pada kira-kira pukul 8 pagi tadi apabila beliau didekati oleh seorang wanita yang berusia lingkungan 30-an dan bertanya ibunya dalam Bahasa Kantonis jika ibunya mengenali seorang doktor.

Menurut Ming lagi, ibunya menjawab bahawa beliau tidak mengenali doctor berkenaan.

Ketika itu, seorang wanita dalam usia lingkungan 40-an melintasi mereka dan berkata bahawa beliau mendengar pertuturan mereka dan berkata beliau mengenali doktor itu.

Wanita itu berkata kepada Puan Lee bahawa beliau tidak mempunyai kereta untuk membawa mereka berjumpa doktor itu di sebuah pangsapuri berhampiran di Gadong serta meminta mereka membawanya ke sana.

Menurut Ming lagi, ibunya bersetuju untuk membawa mereka ke tempat doktor berkenaan dan semasa dalam perjalanan, kedua-dua orang wanita berkenaan terus bercerita bagaimana doktor itu kononnya telah banyak membantu mereka.

Apabila mereka tiba di tempat doktor berkenaan, ada seorang wanita berusia lingkungan 20-an menunggu di bawah pangsapuri itu dan mengatakan doktor ada di atas pada masa itu namun tidak dapat membantu mereka kerana sedang berehat.

Menurut Ming lagi, ibunya menceritakan bahawa wanita yang berusia 30-an itu kemudian naik ke atas pangsapuri berkenaan untuk bertemu dengan doktor berkenaan.

Tidak lama selepas itu, wanita itu kembali dan memberitahu Puan Lee bahawa keluarganya telah ditimpa kejadian bulan darah dan penyakit yang dihadapi oleh suaminya adalah disebabkan oleh kehadiran hantu di rumah mereka yang dibawa oleh Puan Lee.

Beliau memberitahu Puan Lee lagi bahawa untuk menghalau hantu dan membuang nasib buruk yang menimpa keluarganya itu, beliau perlu membawa tiga benda kepadanya iaitu nasi, kesemua wang simpanannya dan kesemua barang kemasnya.

Wanita itu berkata bahawa barang-barang itu hanya diperlukan bagi upacara pembersih-an sahaja dan akan dipulangkan kembali kepada Puan Lee selepas upacara berkenaan.

Mendengar penjelasan itu, Ming berkata ibunya yang khuatir akan penyakit yang menimpa suaminya dan merasakan bahawa penyakit suaminya itu adalah disebabkan oleh dirinya bersetuju untuk melakukan perkara berkenaan dan berjanji menemui mereka pada tengah hari nanti.

Ming menceritakan bahawa ibunya tiba-tiba menyuruhnya untuk membawanya ke bank tetapi pada masa itu, Ming hendak pergi ke tempat kerja dan abang iparnya sepatutnya membawa ibunya ke bank.

Namun begitu, apabila abang iparnya mengetahui mengenai perkara dan cerita berkenaan, abang iparnya menghentikan Puan Lee daripada berbuat demikian.

Menurut Ming, mereka sekeluarga pergi ke tempat di mana ibunya berkata hendak berjumpa dengan mereka tetapi wanita-wanita berkenaan sudah tidak kelihatan lagi.

Menurut Ming lagi, ibunya pada masa ini masih lagi terkejut dengan kejadian berkenaan dan tidak memahami apa yang telah berlaku atau mengenali ketiga-tiga wanita yang telah menghampirinya itu.

Ming berharap orang ramai lebih berhati-hati dan tidak mudah percaya kepada orang yang menjanjikan pelbagai perkara yang mustahil. Beliau berharap kejadian yang menimpa ibunya dapat menjadi pengajaran kepada semua orang supaya lebih berwaspada dan tidak mudah terperangkap dengan kata-kata manis daripada orang yang tidak dikenali.

ARTIKEL YANG SAMA