Hampir keseluruhan hutan utara India terbakar

Hampir keseluruhan hutan utara India terbakar

LUCKNOW, India, 2 Mei (AP) – Kebakaran hutan besar yang melanda negeri utara India, Uttarakhand telah mengorbankan tujuh orang dalam beberapa minggu kebelakangan, dan mengancam dua kawasan simpanan harimau, menurut para pegawai hari ini.

Selepas anggota-anggota bomba negeri, selama beberapa bulan tidak dapat memadamkan kebakaran, kerajaan India telah menghantar pesawat-pesawat helikopter Angkatan Tentera Udara pada hujung minggu untuk menggugurkan air ke kawasan yang terbakar, yang mana kebakaran meliputi hampir 23 kilometer persegi hutan pokok pain.

Berlaku berbelas-belas kebakaran hari ini, yang merebak tanpa diduga dan mengancam dua kawasan simpanan utama harimau – Taman Negara Corbett dan Taman Negara Rajaji, menurut pegawai hutan kerajaan Bhanu Prasad Gupta.

Para pegawai berkata kebakaran bertambah teruk ekoran cuaca kering tahun ini, selepas dua tahun berturut-turut tidak mengalami banyak hujan monsun. Sejak Februari, kebakaran telah merebak ke 13 buah daerah yang memusnahkan kawasan luas hutan di Uttarakhand, menurut Gupta. Asap tebal menjejaskan usaha untuk memadamkan api, menurutnya lagi.

Gambar yang diambil dari sebuah helikopter Tentera Udara India Ahad lalu menunjukkan beberapa titik api yang berada di Uttarakhand, India. – Xinhua
Gambar yang diambil dari sebuah helikopter Tentera Udara India Ahad lalu menunjukkan beberapa titik api yang berada di Uttarakhand, India. – Xinhua

Pihak berkuasa telah menahan empat lelaki untuk disoal siasat kerana disyaki mereka yang memulakan beberapa kebakaran untuk cuba membersihkan kawasan bagi pemajuan hartanah, menurut Menteri Persekitaran India Prakash Javdekar.

Menurutnya kerajaan tidak akan membenarkan penggunaan kawasan hutan bagi sebarang tujuan lain. “Tidak seinci pun kawasan hutan akan dibenarkan dicerobohi atau dilencongkan oleh sesiapa pun,” Javdekar berkata hari ini.

Pakar-pakar menjangkakan bilangan kebakaran hutan dan juga tahap kebakaran itu akan bertambah ketika cuaca membawa suhu lebih panas yang mengeringkan kawasan hutan dan memburukkan lagi kemarau.

India tahun ini juga dalam kepayahan berdepan dengan kesan dari kitaran cuaca El Nino yang memburukkan lagi keadaan kemarau dan masih boleh melemahkan monsun tahun ini, yang dijangkakan bermula pada bulan Jun. Kebakaran mungkin mengakibatkan tahap pencemaran udara yang sudah pun tinggi semakin teruk di utara India.