Hampir RM300 juta laksana GST

Hampir RM300 juta laksana GST

KUALA LUMPUR, 21 Mac (Bernama) – Malaysia telah membelanjakan hampir RM300 juta untuk pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang membabitkan pemberian geran latihan GST, perisian perakaunan patuh GST kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan pembangunan sistem MyGST.

Menurut Kementerian Kewangan, daripada jumlah itu, sebanyak RM98 juta dibelanjakan untuk pembangunan sistem pengkomputeran MyGST yang dibangunkan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) manakala RM94 juta bagi subsidi pembelian perisian perakaunan patuh GST yang diuruskan oleh SME Corporation Malaysia.

“Kerajaan juga telah membelanjakan sebanyak RM52.8 juta bagi pemberian geran latihan termasuk taklimat/seminar, program bimbingan dan pemberian geran latihan kepada persatuan/badan bukan kerajaan.

“Selain itu, sebanyak RM38 juta telah dibelanjakan bagi program publisiti meliputi pelbagai saluran media dan kempen kesedaran GST,” demikian menurut kementerian itu dalam jawapan bertulis kepada soalan Tan Sri Abd Khalid Ibrahim (Bebas-Bandar Tun Razak) yang diedar di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Abd Khalid ingin tahu mengenai GST dan kos operasi yang terlibat.

Katanya kerajaan melalui JKDM dan kerjasama dengan badan bukan kerajaan serta persatuan perniagaan juga banyak melaksanakan program latihan dan kesedaran untuk membantu peniaga memahami GST bagi meningkatkan pematuhan dan pelaksanaan yang lebih cekap.

ARTIKEL YANG SAMA