Hampir RM600 juta dibelanjakan untuk kerja penyelenggaraan jalan

Hampir RM600 juta dibelanjakan untuk kerja penyelenggaraan jalan

KOTA KINABALU, 21 April – Sejumlah RM591.7 juta dibelanjakan bagi kerja-kerja penyelenggaraan semua jalan raya di Sabah tahun lepas, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah diberitahu hari ini.

Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Joseph Pairin Kitingan berkata terdapat empat syarikat konsesi dipertanggungjawab menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan jalan raya di Sabah iaitu Globinaco Sdn Bhd, Kekal Mewah Sdn Bhd, Lintasan Resources Sdn Bhd dan Gammerlite Sdn Bhd.

Pada tahun lepas, Pairin yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur berkata kesemua syarikat konsesi itu masing-masing membelanjakan RM289.8 juta, RM160 juta, RM86.5 juta dan RM55.4 juta untuk menjalankan penyelenggaraan jalan negeri dan jalan persekutuan meliputi kerja-kerja rutin, kecemasan dan berkala.

“Pada keseluruhannya, prestasi syarikat-syarikat konsesi dilantik dan kerja-kerja berkeutamaan berdasarkan bajet diluluskan adalah memuaskan dan mematuhi spesifikasi,” katanya menjawab soalan Datuk Ahmad Bujang (BN-Sindumin) dalam sesi soal jawab pada sidang DUN di sini.

Ahmad ingin tahu berapa syarikat dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan kerja-kerja penyelenggaraan jalan di Sabah dan jumlah wang dibelanjakan oleh syarikat terbabit pada tahun lepas.

Sementara itu, Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan negeri Datuk Musbah Jamli berkata satu sistem pengurusan dan instrumen perundangan dan pengawalan sedang diperhalusi agar pengeksportan ikan hidup dapat dilaksanakan dengan teratur dan sistematik.

Bagaimanapun, katanya, pelaksanaan sistem pengurusan dan kawalan ini tidak akan mengatasi atau menggantikan mana-mana sistem kawalan sedia ada tetapi akan membantu dan melengkapkan sistem kawalan penguatkuasaan yang lain.

“Langkah itu juga menjamin Sabah akan terus menjadi pengeluar produk makanan laut halal yang berkualiti tinggi di seluruh negara dan rantau ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Dr Hiew King Cheu (Bebas-Luyang) yang ingin tahu langkah dan arahan kerajaan negeri mengenai pengharaman eksport ikan dari Sabah dan kesan-kesan dialami industri ikan.

Menurutnya cadangan kerajaan negeri mengawal eksport produk makanan laut segar dari Sabah antara lain memudahkan pengguna mendapatkan produk makanan laut pada harga berpatutan selain memastikan bekalan mencukupi dalam pasaran tempatan. – Bernama