Hampir satu pertiga wanita Amerika Latin, Caribbean obesiti

Hampir satu pertiga wanita Amerika Latin, Caribbean obesiti

MEXICO CITY, 2 Mac (Bernama) – Seramai 29 peratus wanita dan 18 peratus lelaki di Amerika Latin dan Carribean mengalami obesiti, kata Ketua Pengarah Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) Jose Graziano da Silva, kelmarin.

Bercakap pada Persidangan Serantau FAO ke-34 di sini, Graziano da Silva mengingatkan bahawa rantau itu kini menyaksikan peningkatan mendadak kadar obesiti dan kira-kira 22 peratus orang dewasa mengalaminya, lapor agensi berita China, Xinhua.

Selanjutnya, beliau berkata obesiti kini turut melibatkan tujuh peratus kanak-kanak berusia di bawah lima tahun di Amerika Latin dan Carribean.

Dalam perkembangan lain, Graziano da Silva berkata kekurangan nutrisi yang kronik menjejaskan lebih 20 peratus kanak-kanak di beberapa negara tertentu termasuk Mexico.

Bagaimanapun, beliau memuji rantau itu kerana berjaya menurunkan kadar kekurangan nutrisi dalam kalangan kanak-kanak sebanyak 12.9 peratus sejak 25 tahun lepas.

Graziano da Silva juga berkata FAO dan anggotanya di rantau itu perlu bekerjasama untuk terus menambah baik nutrisi dan pertanian lestari.

ARTIKEL YANG SAMA