Hamren jangka Ibra mampu beraksi di EPL

Hamren jangka Ibra mampu beraksi di EPL

STOCKHOLM, 27 April – Penyerang Sweden, Zlatan Ibrahimovic (bawah) boleh beraksi dengan baik di Liga Perdana Inggeris (EPL) meskipun menghampiri usia 35 tahun, kata pengurus pasukan kebangsaan, Erik Hamren.

Ibrahimovic yang kontraknya bersama kelab Paris St Germain (PSG) bakal berakhir pada musim ini, dikaitkan dengan beberapa pasukan di seluruh dunia termasuk di England.

Namun persembahannya dalam perlawanan timbal balik pusingan suku akhir Liga Juara-Juara yang menyaksikan Manchester City menewaskan PSG, menimbulkan persoalan sama ada pemain itu terlalu tua untuk mengharungi liga tertinggi di England itu.

Apabila ditanya jika Ibrahimovic yang menjaringkan 32 gol dalam 27 perlawanan Ligue 1 musim ini, masih boleh berjaya di EPL, Hamren berkata, dia percaya pemain itu boleh menyumbang di mana dia pergi selagi kekal fokus.

“Jika Zlatan bermotivasi, dia boleh kekal berada di atas untuk beberapa tahun lagi,” kata Hamren yang akan mengundur diri dari kedudukannya di Sweden selepas berakhir Euro 2016, dalam satu temuramah di ibu pejabat Persatuan Bola Sepak Sweden di sini.

p21-3_20160428

“Ini adalah soalan besar untuknya dan bagi pemain lain. Mereka perlu bekerja keras untuk kekal di satu tahap, satu perlawanan demi satu perlawanan, bulan demi bulan, tahun demi tahun.

“Satu lagi perkara yang mengagumkan mengenai Zlatan adalah dia sentiasa mahu menjadi lebih baik dan itulah mengapa dia menjadi pemain yang bagus untuk tempoh lama, membaiki persembahan setiap tahun, biarpun dia berusia lebih 30 tahun.” – Agensi