Hancur tangan kiri akibat mercun buatan sendiri

Hancur tangan kiri akibat mercun buatan sendiri

PASIR MAS, 6 Julai (Bernama) – Seorang lelaki berusia 27 tahun hancur tangan kirinya apabila mercun buatan sendiri yang dibuatnya, tiba-tiba meletup dalam kejadian di rumahnya di Kampung Galok di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 6 pagi itu, mangsa Muhammad Alif Abdullah dikatakan sedang membuat mercun buatan sendiri menggunakan belerang di biliknya sebelum mercun berkenaan secara tiba-tiba meletup.

Menurut seorang anggota keluarga yang enggan dikenali, Muhammad Alif kemudiannya dibawa oleh bapanya ke Hospital Pasir Mas untuk mendapatkan rawatan sebelum dipindahkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kota Baharu.

“Saya tidak tahu tujuan dia buat mercun itu sebab sebelum ini dia tak pernah main mercun, ini satu pengajaran buat kami sekeluarga,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Mangsa kini dirawat di HUSM dan keadaannya dilaporkan stabil.

ARTIKEL YANG SAMA