Hantar pulang 165 warga Bangladesh

Hantar pulang 165 warga Bangladesh

YANGON, 16 Julai – Myanmar akan menghantar pulang 165 warga Bangladesh daripada baki sejumlah 544 orang pelarian pada akhir bulan ini, lapor media negara itu hari ini.

Seramai 187 penghijrah diserahkan kepada Bangladesh pada bulan lalu sementara yang selebihnya yang diselamatkan oleh tentera laut pada Mei berada di tempat perlindungan di Taung Pyo di barat negeri Rakhine.

Penyerahan seterusnya yang dipersetujui dengan Bangladesh dijangka diadakan pada 22 Julai, lapor akhbar Global New Light Myanmar.

Kerajaan telah menerima tekanan daripada nasionalis di negeri Rakhine, termasuk sami Buddha, menuntut penghantaran pulang dua bot penghijrah yang dibawa ke pusat tahanan di negeri itu setelah ditemui di laut pada Mei.

Myanmar berkata pada Selasa 102 penghijrah yang dipercayai berasal dari negara Bangladesh diselamatkan di Pulau Bruer di luar bandar selatan Kawthoung, di antara 30 Jun dan 12 Julai.

Gambar fail oleh Kementerian Penerangan Myanmar yang bertarikh 29 Mei 2015 menunjukkan lebih 700 pelarian warga Bangladesh yang dikesan Tentera Laut Myanmar di perairan Divisyen Irrawaddy.
Gambar fail oleh Kementerian Penerangan Myanmar yang bertarikh 29 Mei 2015 menunjukkan lebih 700 pelarian warga Bangladesh yang dikesan Tentera Laut Myanmar di perairan Divisyen Irrawaddy.

Beberapa penghijrah dilaporkan dihantar secara paksa, sementara yang lainnya berkata mereka direkrut oleh penyeludup untuk mencari pekerjaan di Malaysia, katanya. Penyeludup meninggalkan mereka di pulau sepanjang 3 kilometer pada awal Jun.

Satu siasatan mendapati semua penghijrah berasal dari Bangladesh, kata laporan.

Tentera laut sedang mencari lebih ramai warga Bangladesh di kawasan itu, dan akan menghantar pulang mana-mana penghijrah yang ditemuinya. – dpa

ARTIKEL YANG SAMA