Hanya 150 buah sehari

Hanya 150 buah sehari

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Mei – Dalam usaha memberi keselesaan kepada orang ramai, Jabatan Pengangkutan Darat (JPD) akan memperkenalkan Pemeriksaan Kenderaan Secara Tempahan bermula pada 4 Jun 2015 depan.

Pengarah JPD, Dr Haji Supry bin Haji Awang Ladi berkata, perkhidmatan pemeriksaan secara tempahan itu hanya diberikan untuk kenderaan persendirian yang berusia lebih tujuh tahun dan pemeriksaan kenderaan hanya terhad kepada 150 buah setiap hari waktu bekerja sahaja.

Bercakap dalam satu sidang akhbar di ibu pejabat JBD di Beribi hari ini, beliau berkata, tempahan dibuka bermula 9 Mei ini dengan menghubungi talian hotline 2448009 atau kaunter penerimaan tempahan berdekatan dengan Lorong 7 Bangunan Pemeriksaan JPD.

Menurut beliau, pada peringkat permulaan, pemeriksaan persendirian secara tempahan ini hanya diberikan di ibu pejabat JPD bermula pukul 8 pagi hingga 12 tengah hari dan pada sebelah petang mulai pukul 1.45 hingga 4.00 petang.

Dr Haji Supry berkata, dalam usaha memudah cara demi keselesaan orang ramai, perkhidmatan secara online untuk pemeriksaan tempahan kenderaan juga akan diperkenalkan setelah ianya dikemas kini dan diteliti sebelum diperkenalkan kepada orang ramai.

Dr Haji Supry semasa sidang media kelmarin.
Dr Haji Supry semasa sidang media kelmarin.

“Perkhidmatan secara online ini dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh sebulan setengah setelah meneliti dan mengemas kini sebelum ia diperkenalkan kepada orang ramai.

“Manakala pemeriksaan kenderaan secara tempahan ini juga akan diperluaskan ke daerah Belait dan Tutong setelah meneliti penyelarasannya dan perkhidmatan ini akan dijangka bermula pada bulan Julai 2015 ini,” jelas beliau.

Menurutnya lagi, langkah JPD memperkenalkan pemeriksaan secara tempahan bertujuan mengurangkan masa menunggu orang ramai untuk membuat pemeriksaan kenderaan di samping dapat menambah baik tahap pemeriksaan kenderaan yang lebih berkesan dan penggunaan sumber tenaga manusia JPD dengan lebih teratur dan sistematik.

Selain itu, ia juga bagi mengurangkan barisan kenderaan yang di periksa terutama pada minggu pertama dan terakhir setiap bulan.

“Melihat kepada statistik minggu kedua dan ketiga, jumlah kenderaan yang membuat pemeriksaan hanya sekitar 100 buah kenderaan saja tapi bila minggu pertama bulan dan penghujung bulan, jumlah kenderaan yang membuat pemeriksaan mencecah sehingga 300 buah setiap hari,” jelasnya.

Dr Haji Supry berkata, pemeriksaan awal boleh dibuat bagi mengurangkan waktu menunggu dan seterusnya menseimbangkan jumlah kenderaan yang membuat pemeriksaan setiap hari.

Sementara itu beliau berkata, kaunter perkhidmatan membaharui Lesen Memandu dan Lesen Kenderaan di ibu pejabat JPD, Beribi bermula pukul lapan pagi hingga 11 pagi saja.

Sehubungan itu, orang ramai disarankan supaya membaharui Lesen Kenderaan dan Lesen Memandu mereka melalui perkhidmatan atas talian (online).

Menurut beliau, sejak Sistem Pengangkutan Darat (SPD) ini diperkenalkan pada Mei 2013, sejumlah 3,310 pengguna telah menggunakan perkhidmatan online melalui terminal online yang diperkenalkan di ibu pejabat JPD sejak Januari 2015.

“Perkhidmatan online yang ada pada masa ini ialah untuk membaharui Lesen Memandu (DK) dan Lesen Kenderaan (VL) saja,” jelasnya.

Terminal Online itu juga mula diperkenalkan di cawangan JPD di daerah Tutong dan Kuala Belait serta Temburong sejak Mac 2015 dan statistik menunjukkan jumlah transaksi penggunaan online di cawangan Kuala Belait dicatat sebanyak 64, Tutong dan Temburong masing-masing mencatat sebanyak 16 pengguna.

Sementara perkhidmatan pemeriksaan kenderaan di ibu pejabat JPD, Beribi dibuka pada hari Jumaat, minggu pertama dan terakhir setiap bulan bermula pukul 8 hingga 11 pagi.

Manakala, cawangan JPD di darah Tutong dan Belait bagi kaunter perkhidmatan membaharui Lesen Memandu, Lesen Kenderaan, penggantian lesen kenderaan pudar dan pemeriksaan kenderaan bermula pukul 8 hingga 11 pagi pada minggu pertama dan terakhir kecuali hari kelepasan awam.

ARTIKEL YANG SAMA