Hanya dapat tidur di R&R

Hanya dapat tidur di R&R

IPOH, 13 Nov – Pendakwah bebas terkenal Datuk Ustaz Mohd Kazim Elias mengakui tekanan melampau dialaminya menyebabkan beliau sukar untuk lena sehingga terpaksa tidur di kawasan Rehat dan Rawat (R7R) di tepi lebuh raya.

Katanya ketika dimasukkan ke sebuah hospital swasta di sini Sabtu lalu, pada waktu malam beliau akan meminta kebenaran doktor untuk keluar menaiki kereta bagi mengurangkan tekanan seterusnya melelapkan mata.

“Lima doktor yang merawat saya memberitahu saya mengalami tekanan dan kurang rehat sehingga sukar untuk tidur termasuklah sebelum dimasukkan ke hospital.

“Semasa di hospital pada pukul 11 malam saya ke lebuh raya, saya tidur dikawasan Rehat dan Rawat Gopeng, Simpang Pulai serta Tapah dan balik semula ke hospital pada pukul 4 pagi.

“Entah kenapa bila masuk dalam kereta belum sampai plaza tol atau lebuh raya saya dah tertidur, tapi kalau di rumah dan hospital memang sukar walaupun diberikan ubat tidur yang paling kuat,” katanya kepada pemberita pada majlis Taklimat Umrah Bersama Datuk Ustaz Kazim Elias di sini hari ini.

Ustaz Kazim Elias.
Ustaz Kazim Elias.

Mengenai status kesihatannya, Ustaz Kazim yang dibenarkan keluar dari hospital Khamis lalu berkata doktor mengesahkan beliau mengalami ulser dan pendarahan pada usus.

“Disebabkan ulser dan pendarahan usus, doktor menghentikan pengambilan ubatmencairkan darah selama empat hari, tetapi ia beri kesan pula kepada jantung sehinggalah sekarang,” katanya.

Ustaz Kazim yang terkenal dengan ceramah bersahaja juga berkata masalah kesihatan dialaminya menyebabkan berat badan beliau susut daripada 69 kilogram (kg) tiga minggu lalu kepada 64.5kg semalam.

Sehubungan itu, beliau merancang untuk mengurangkan aktiviti ceramah pada tahun depan selain mahu memberi tumpuan kepada program lawatan ilmiah ke luar negara. Pengasas serta Pengetua Pusat Pendidikan Al-Barakah di Manjoi itu berkata beliau akan melepaskan tanggungjawab tersebut yang digalasnya sejak 10 tahun lalu kepada pihak lain.

“Tapi adakah pihak yang akan menggantikan saya nanti dapat mengajar danmemberi ceramah macam saya? memulangkan semula sagu hati (bayaran) yang diterima kepada pusat ini untuk pembangunannya,? soal Ustaz Kazim.

Katanya tahun lalu, seramai 170,000 orang datang menziarah pusat pendidikan itu semata-mata untuk mendengar ceramah yang diadakan pada setiap Sabtu dan Ahad.

Pada Februari lalu, Ustaz Kazim dimasukkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian selepas mengadu penat dan sakit dada ketika sedang berceramah di perkarangan bangunan Pertubuhan Peladang Kawasan SriGunong, Bachok di Kelantan.

Mengenai pakej Umrah antara Pusat Pendidikan Al-Barakah dan agensi pelancongan Tri-D Travel & Tours Sdn Bhd, Ustaz Kazim berkata ia merupakan antara usaha untuk mengumpul dana bagi pusat pendidikan tersebut.

Katanya perbelanjaan pusat pendidikan itu menelan kos RM170,000 setiap bulan dan atas biaya beliau sendiri. – Bernama