Hanya pelan orang berkelayakan diterima

Hanya pelan orang berkelayakan diterima

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Sept – Bagi menjamin keselamatan dan kesihatan orang ramai melalui kawalan kemajuan pembangunan, Perintah Kawalan Bangunan (BCO) hanya memperuntukkan orang berkelayakan dan pembina sahaja untuk bertanggungjawab bagi memastikan kemajuan yang dijalankan mengikut peraturan dan piawaian yang ditetapkan.

Kementerian Pembangunan dalam satu kenyataannya hari ini memaklumkan mulai 1 Oktober 2016, Autoriti Kawalan Bangunan dan Industri Pembinaan (ABCi) hanya akan menerima pelan-pelan yang dihadapkan oleh orang berkelayakan sahaja.

Selaras dengan berkuatkuasanya Perintah Kawalan Bangunan (BCO), 2014 mulai 1 November 2015, hanya orang berkelayakan sahaja yang boleh menghadapkan pelan bagi mendapatkan kebenaran-kebenaran kemajuan.

Definisi orang berkelayakan ialah arkitek atau jurutera profesional yang berdaftar dan mempunyai sijil menjalankan amalan (practising certificate) di bawah Perintah Arkitek, Jurutera Profesional dan Juruukur Bahan (APEQSO), 2011 yang berkuatkuasa mulai 13 September 2012.

Mereka yang bukan terdiri daripada orang berkelayakan seperti tukang pelan atau tukang lukis yang mempunyai kelayakan yang diperlukan perlu berdaftar sebagai orang berkelayakan dan mendapatkan sijil menjalankan amalan di bawah APEQSO untuk terus memberikan perkhidmatan mereka kepada orang ramai.

Selain daripada itu, mereka boleh berkhidmat di bawah arahan dan penyeliaan arkitek berdaftar yang mempunyai sijil menjalankan amalan seperti yang diperuntukkan dalam APEQSO.

Bagi tujuan pelaksanaan BCO, tukang pelan atau tukang lukis yang bukan terdiri daripada orang berkelayakan diberikan kelonggaran sementara untuk menghadapkan pelan tetapi dihadkan hanya untuk menyelesaikan kerja-kerja yang masih mempunyai obligasi kontrak dengan pelanggan masing-masing.

Sehubungan dengan ini, mereka diminta menghadapkan kepada ABCi sebelum 1 Oktober 2016 senarai projek-projek yang sedang berjalan berserta salinan kontrak dengan pelanggan. Pelan-pelan baru yang disediakan oleh mereka yang bukan terdiri daripada orang bekelayakan tidak akan diterima mulai 1 Oktober 2016.