Hanya perbualan telefon mengandungi maklumat keselamatan ditranskrip

Hanya perbualan telefon mengandungi maklumat keselamatan ditranskrip

KOTA KINABALU, 8 Sept – Seorang staf pemproses pintasan komunikasi melakukan transkripsi hanya ke atas perbualan telefon suspek pencerobohan Lahad Datu yang hanya mengandungi maklumat keselamatan, Mahkamah Tinggi di sini diberitahu.

Saksi itu, yang memberi keterangan sebagai saksi terlindung, mengaku tidak melakukan transkripsi banyak perbualan lain yang dipintas membabitkan pelbagai nombor telefon.

Ketika disoal peguam Datuk N. Sivananthan semasa pemeriksaan balas jika ia disebabkan saksi berpandangan bahawa kandungan perbualan-perbualan tersebut tidak relevan kepada kes pencerobohan, saksi itu menjawab, “saya setuju”, melalui jurubahasa mahkamah.

Bagaimanapun, dalam perbualan yang ditranskrip, saksi tidak bersetuju terdapat maklumat telah dicicirkan atau diabai kerana ia dianggap tidak relevan.

Saksi itu memberi keterangan dalam perbicaraan ke atas 30 individu dikaitkan dengan pencerobohan pengganas Sulu di Kampung Tanduo, Lahad Datu pada Februari 2013.

Saksi yang menggunakan singkatan nama BZM dalam dokumen pintasan komunikasi yang diserahkan kepada mahkamah berkata, terdapat tiga orang lain yang mendengar perbualan pintasan telefon berkaitan dengan pencerobohan.

Kepada soalan Sivananthan, saksi itu tidak bersetuju bahawa sama ada saksi atau tiga lagi staf pemintas komunikasi ada mendengar pintasan secara langsung.

Bagaimanapun saksi bersetuju perbualan telefon yang dipintas itu dibekalkan oleh penyelia saksi.

“Saya tunjukkan kepada kamu keterangan bersumpah oleh AVB (singkatan nama staf pemproses komunikasi yang lain) berikan dalam perbicaraan Korporal Hassan

Ali Basari (yang didapati bersalah menyembunyikan maklumat mengenai pencerobohan pada Ogos 2013.).

“Selepas diberi arahan melakukan pemintasan komunikasi, AVB akan mendengar rakaman pintasan komunikasi menggunakan alat bantuan mendengar dan komputer yang dibekalkan. Adakah kamu setuju dengan keterangan AVB?” soal Sivananthan yang dipersetujui oleh saksi terlindung itu.

Saksi memberitahu mahkamah bahawa perbualan yang dipintas adalah dirakam tetapi tidak mengetahui perakamnya. – Bernama