Hanya sajian terbaik buat delegasi

Hanya sajian terbaik buat delegasi

KUALA LUMPUR, 2 Ogos (Bernama) – Memilih menu terbaik yang menepati ‘cita rasa antarabangsa’ perwakilan dan peserta ke Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-48, mungkin tugas yang menggentarkan, namun bagi Chef Eksekutif Suzaini Mohamed Salih, ia merupakan suatu cabaran.

“Ia tugas paling mencabar yang pernah saya alami,” kata chef di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), dengan pengalaman bekerja selama 28 tahun.

Bercakap kepada Bernama, Suzaini berkata ‘perjalanan’ untuk memastikan kesemua hidangan itu memenuhi selera perwakilan dari 27 negara bermula dua bulan lepas.

Bersama-sama rakan sekerjanya, mereka memilih 150 item untuk menu itu, 60 peratus daripadanya dianggap sebagai masakan ‘antarabangsa’ manakala bakinya pula hidangan tempatan.

“Perwakilan boleh menjangkakan masakan antarabangsa seperti popia Vietnam dan kari merah Thailand semasa persidangan ini berlangsung di samping sajian buah-buahan tempatan misalnya pisang, mangga dan buah naga,” katanya.

Seorang kakitangan di dapur Pusat Dagangan Dunia Putra ketika memasak untuk para delegasi yang menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-48 selama enam hari bermula Sabtu. – Bernama
Seorang kakitangan di dapur Pusat Dagangan Dunia Putra ketika memasak untuk para delegasi yang menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-48 selama enam hari bermula Sabtu. – Bernama

Selain Mesyuarat Menteri-Menteri Luar, mesyuarat lain yang dijadual berlangsung di PWTC ialah Pasca Persidangan Menteri-Menteri Luar bersama rakan dialog ASEAN, Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN Campur Tiga ke-16, Sidang Kemuncak Menteri-Menteri Luar Asia Timur ke-5 dan Forum Serantau ASEAN ke-22. Antara perwakilan peringkat tertinggi yang dijangka hadir ialah Setiausaha Negara Amerika Syarikat John Kerry, di samping menteri-menteri luar dari 10 negara anggota ASEAN dan rakan dialognya.

Suzaini berkata sebuah ruang dapur, dengan keluasan lima gelanggang badminton, telahpun diwujudkan dianggotai 50 kakitangan tetap dan 80 petugas sambilan yang bekerja seawal 5 pagi hingga 11 malam setiap hari untuk menyediakan empat sajian – minum pagi, makan tengah hari, minum petang dan makan malam.

Sungguhpun rutin ini menjadikan mereka amat sibuk, Suzaini menyifatkan peluang untuk menyediakan hidangan bagi perwakilan ASEAN sebagai satu penghormatan, apatah lagi peluang seperti ini jarang diperoleh.

Bagi majlis jamuan malam anjuran Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman pada Rabu, sejumlah 800 pinggan khas dihiasi logo ASEAN, telahpun ditempah.

Ketua Pegawai Eksekutif PWTC Datuk Maxson Abdullah Jaafar berkata pinggan itu merupakan lambang kebersatuan seperti yang digambarkan dalam tema ASEAN tahun ini – ‘Warga Kita, Komuniti Kita, Visi Kita.’

Malaysia sebagai pengerusi ASEAN juga bakal mewujudkan Komuniti ASEAN menjelang hujung tahun ini.

ARTIKEL YANG SAMA