‘Hanya trebel’

‘Hanya trebel’

PIRAEUS, Greece, 15 Sept (AFP) – Pep Guardiola memulakan kempen ketiganya dan mungkin yang terakhir untuk kempen Liga Juara-Juara bersama Bayern Munich esok, dengan menyedari jika kemenangan 2013 bakal berulang, barulah pasukan Bavaria itu berpuas hati.

Dengan pengakuannya sendiri di Munich, ‘hanya trebel diambil kira’ membayangkan pengurus dari Sepanyol itu cuba mengulangi tiga kemenangan Bayern pada 2013 untuk Liga Juara-Juara, Bundesliga dan Piala Jerman.

Pep Guardiola, 44, telah memenangi Liga Juara-Juara pada 2009 dan 2011 sebagai jurulatih Barcelona, tetapi dalam dua musim bersama Bayern, jaguh-jaguh Jerman menjadi mangsa pasukan Real Madrid dalam 2013/14, dan Barcelona pula menjadi raja Eropah musim lalu.

“Matlamat utama ialah – dan akan kekal – memenangi Liga Juara-Juara,” kata penyerang Thomas Mueller, yang menyambut ulang tahun ke-26 Ahad lalu sebelum Bayern berlepas ke Greece.

Pasukan Bavaria ini mahu mencipta sejarah menjadi pasukan pertama Jerman memenangi gelaran Bundesliga empat kali berturut-turut.

Guardiola (kiri) bercakap kepada pertahanan Bayern dari Perancis, Kingsley Coman semasa aksi Bundesliga menentang Augsburg di Munich, 12 September lalu. – AFP
Guardiola (kiri) bercakap kepada pertahanan Bayern dari Perancis, Kingsley Coman semasa aksi Bundesliga menentang Augsburg di Munich, 12 September lalu. – AFP

Kontrak semasa Guardiola akan mansuh pada akhir musim dan beliau yang tidak memberikan bayangan tentang rancangan masa depannya, mengidamkan satu lagi mahkota Eropah untuk menambah CV pengurusnya yang sudah pun mengagumkan.

Bayern telah memenangi kesemua empat perlawanan pembukaan Liga Jerman musim ini, tetapi berhempas pulas untuk bangkit selepas ketinggalan untuk mencipta kemenangan 2-1 di tempat sendiri kepada Augsburg Sabtu lalu dengan dua gol lewat.

Kini pemenang Liga Juara-Juara 2013 ini mengalihkan fokusnya ke Eropah di Olympiakos, apabila memulakan kempen Kumpulan F, tetapi Guardiola memberi amaran mereka tidak boleh lagi mempamerkan permainan di bawah tahap sebenar dengan mengambil kira Arsenal juga dalam kumpulan mereka.

Sambutan hangat menanti di Greece di hadapan 33,000 peminat tuan rumah di Stadium Karaiskakis dengan tiket habis terjual dan 1,700 peminat pelawat akan menerima perlindungan polis.