Hanya yang terbaik dipilih

Hanya yang terbaik dipilih

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Nov – Industri penerbangan merupakan salah satu industri yang paling mencabar di dunia dengan setiap perkara yang berlaku di dunia mempunyai kesan segera kepada industri berkenaan seperti epidemik penyakit, krisis kewangan, krisis minyak dan juga masalah abu gunung berapi.

Setiap hari dan setiap penerbangan yang dijalankan amat berbeza, oleh itu amat penting untuk memastikan bahawa kadet juruterbang yang dipilih oleh Penerbangan Diraja Brunei (RB) diberikan latihan secukupnya untuk menghadapi pelbagai keadaan yang mungkin wujud supaya mereka akan mempunyai keyakinan tinggi bagi memastikan keselamatan para penumpang dan menjaga kepentingan pihak syarikat.

Ini dinyatakan oleh Timbalan Pengerusi RB, Dermot Mannion ketika berucap pada Majlis Penandatanganan Pengambilan Kadet Juruterbang ke-45 yang berlangsung di Bilik Sejahtera, Kelab Rekreasi Diraja Brunei, Berakas, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyaksikan penandatanganan pada majlis berkenaan ialah Ketua Biasiswa, Kementerian Pendidikan, Haji Ibrahim bin Haji Bagol.

Turut hadir ialah pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Pendidikan, para pegawai kanan, pegawai dan kakitangan dari RB serta ahli keluarga para kadet juruterbang yang diraikan pada majlis berkenaan.

Awang Mohd Nur Khalaf Khabilah menandatangani perjanjian sambil disaksikan oleh Haji Ibrahim dan Dermot Mannion.
Awang Mohd Nur Khalaf Khabilah menandatangani perjanjian sambil disaksikan oleh Haji Ibrahim dan Dermot Mannion.
Dermot dan Haji Ibrahim bergambar ramai dengan ketiga-tiga kadet juruterbang di majlis berkenaan.
Dermot dan Haji Ibrahim bergambar ramai dengan ketiga-tiga kadet juruterbang di majlis berkenaan.

Dermot menambah bahawa RB terus menyaksikan peningkatan jumlah lelaki dan wanita muda menyertai RB sebagai kadet juruterbang yang mana ia merupakan satu pencapaian yang amat membanggakan bukan sahaja bagi setiap individu dalam RB tetapi juga ahli-ahli keluarga para kadet juruterbang berkenaan.

Dalam hubungan itu, beliau berkata bahawa setiap kadet juruterbang yang terpilih telah menjalani proses pemilihan yang mencabar dan terperinci kerana sebagai sebuah syarikat penerbangan yang terpilih, pihaknya terus memastikan bahawa hanya yang terbaik dipilih.

Perkara itu amat penting kerana kerjaya dan latihan yang dilalui memerlukan mereka yang terpilih untuk mempunyai sikap terbaik serta mampu untuk meraih kejayaan dalam kerjaya yang mencabar dan amat berbaloi itu.

Pada majlis itu, penandatanganan dibuat oleh tiga orang kadet juruterbang pengambilan ke-45 yang dipilih iaitu Awang Mohd Nur Khalaf Khabilah bin Haji Mohd Daud, Awang Muhd Shahrezza Alfie bin Masri dan kadet perempuan sulung, Dayang Asma Zamriah binti Haji Ariffin manakala bagi pihak RB ialah Dermot Mannion, Ketua Bahagian Perkhidmatan Korporat, Aji Puteh dan Ketua Operasi Penerbangan, Kapten Saiful Bahrin dengan disaksikan oleh Haji Ibrahim.

Salah seorang kadet, Awang Muhd Shahrezza Alfie dalam temu bual ringkas bersama Media Permata berkata, beliau amat berminat untuk menjadi seorang juruterbang sejak kecil lagi dan sudah menjadi impiannya untuk terbang di langit yang biru.

Beliau berkata bahawa proses pemilihan bagi mendapatkan tempat sebagai kadet juruterbang amat mencabar dengan pelbagai ujian dan sesi temu duga perlu dilalui.

Sambil melahirkan perasaan amat gembira kerana dipilih sebagai salah seorang yang akan melalui latihan selama 14 bulan, beliau bertekad untuk melakukan yang terbaik dan kembali ke tanah air untuk berkhidmat dengan RB.

Awang Muhd Shahrezza Alfie ketika ditemu bual media.
Awang Muhd Shahrezza Alfie ketika ditemu bual media.
Dayang Asma Zamariah berharap lebih ramai wanita akan memilih kerjaya mencabar sebagai seorang juruterbang.
Dayang Asma Zamariah berharap lebih ramai wanita akan memilih kerjaya mencabar sebagai seorang juruterbang.

Sementara itu, Dayang Asma Zamariah yang merupakan satu-satunya calon wanita dipilih untuk menyertai latihan berkata bahawa kerjaya sebagai seorang juruterbang merupakan satu kerjaya yang jarang diceburi oleh golongan wanita dan beliau bertekad untuk menunjukkan bahawa golongan wanita juga mampu untuk berjaya dalam kerjaya itu.

Beliau berkata, sering didengar bahawa kerjaya sebagai seorang juruterbang bahaya bagi seorang wanita tetapi beliau yakin dengan kejayaannya nanti, ia akan menjadi inspirasi bagi lebih ramai wanita untuk memilih kerjaya itu.

Mengulas mengenai pilihan menjadi seorang juruterbang, beliau berkata kerjaya itu merupakan pilihannya, dan beliau amat gembira dan bersyukur kerana ibu bapa serta keluarganya menyokong pilihannya itu.

Menurut kenyataan RB, tiga daripada 45 orang calon yang disenarai pendekkan telah dipilih untuk menyertai Skim Biasiswa Kadet Juruterbang oleh RB dan Kementerian Pendidikan di mana kadet-kadet yang berjaya itu akan melalui latihan selama 14 bulan di CTC Wings, New Zealand.

ARTIKEL YANG SAMA