Hapus ‘rumah’ nyamuk

Hapus ‘rumah’ nyamuk

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Sept – Kementerian Kesihatan telah mengambil langkah proaktif dalam usaha mena-ngani kemungkinan merebaknya virus Zika di negara ini lebih-lebih lagi dengan kemunculan penyakit berkenaan di negara-negara jiran.

Namun begitu, Kementerian Kesihatan dalam kenyataannya turut menekankan peranan penting penduduk, warga sekolah, pesakit di klinik-klinik dan pekerja di tapak-tapak pembinaan serta orang ramai secara amnya dalam pencegahan jangkitan virus Zika di Brunei Darussalam.

Infeksi virus Zika boleh terjadi terutamanya menerusi gigitan nyamuk yang terjangkit (bagaimanapun kes-kes jangkitan menerusi hubungan seksual juga telah dilaporkan), oleh itu cara terbaik mencegah jangkitan virus tersebut adalah dengan mengurangkan jumlah nyamuk di sekeliling.

Sehubungan itu, kementerian berkenaan menggesa orang ramai untuk melindungi diri daripada gigitan nyamuk dengan mengingati ‘lima D’, iaitu ‘Dusk (senja) & Dawn (subuh)’ – mengelakkan keluar rumah ketika nyamuk paling aktif; ‘Dress’ (cara berpakaian) – memakai pakaian panjang, longgar dan berwarna cerah yang menutupi kulit; ‘DEET’ – gunakan penghalau nyamuk yang mengandungi DEET (penghalau nyamuk paling efektif); dan ‘Drainage’ (penyaliran) – hapuskan air bertakung di sekitar rumah, di tempat-tempat seperti baldi, tin, tayar-tayar lama dan pasu bunga.

Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Dr. Hazri bin Haji Kifle ketika membuat pemeriksaan bersama para pegawai kesihatan awam.
Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Dr. Hazri bin Haji Kifle ketika membuat pemeriksaan bersama para pegawai kesihatan awam.
Pemeriksaan dijalankan di tapak pembinaan oleh kakitangan Kementerian Kesihatan bersama Penghulu Mukim Telisai yang juga Pemangku Ketua Kampung Telisai, Haji Ramli bin Haji Lahit.
Pemeriksaan dijalankan di tapak pembinaan oleh kakitangan Kementerian Kesihatan bersama Penghulu Mukim Telisai yang juga Pemangku Ketua Kampung Telisai, Haji Ramli bin Haji Lahit.

Orang ramai juga digesa supaya mengurangkan jumlah nyamuk dengan menghapuskan tempat pembiakannya, seperti membuang sampah dan barangan menyemakkan termasuk tayar-tayar terbuang, baldi, kanvas dan benda lain yang boleh menyebabkan air bertakung; kurangkan atau hapuskan air bertakung; selalu bersihkan longkang bagi mengelakkannya tersumbat; baiki jaring serangga pada tingkap dan pintu, pastikan kanak-kanak menutup jaring pintu; dan potong rumput halaman dan siram dengan teliti bagi mencegah air bertakung.

Selain itu, ganti air dalam pasu bunga sekurang-kurangnya sekali seminggu dan pasu bunga juga mestilah dibersihkan dan diberus untuk menghapuskan telur nyamuk yang mungkin melekat pada pasu; bot-bot yang tidak digunakan lagi mestilah ditutup atau diterbalikkan; dan elakkan tayar-tayar terpakai daripada menakung air dengan membuat lubang.

Pewasapan dilakukan di kawasan-kawasan perumahan bagi mengurangkan pembiakan nyamuk.
Pewasapan dilakukan di kawasan-kawasan perumahan bagi mengurangkan pembiakan nyamuk.
Pewasapan juga dilakukan di sekolah-sekolah bagi mengelak pembiakan nyamuk.
Pewasapan juga dilakukan di sekolah-sekolah bagi mengelak pembiakan nyamuk.

Perkara paling penting dalam pengawalan nyamuk di sekitar rumah dan sekeliling kita adalah dengan memastikan nyamuk tidak mempunyai tempat untuk membiak.

Menurut kenyataan itu lagi, Kementerian Kesihatan terus memantau virus Zika dengan kerjasama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan akan melaksanakan langkah-langkah perlu termasuk memaklumkan orang ramai mengenai sebarang perkembangan.

Bagi sebarang pertanyaan mengenai jangkitan virus Zika atau mana-mana penyakit bawaan nyamuk, orang ramai bolehlah melayari laman sesawang Kementerian Kesihatan di alamat www.moh.gov.bn atau hubungan Talian Darussalam 123.

ARTIKEL YANG SAMA