Hapuskan sebarang pembaziran

Hapuskan sebarang pembaziran

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Mac – Isu mengenai sejauh mana Darussalam Enterprise (DARe) melindungi usahawan tempatan, langkah kerajaan tempatan menangani masalah pinjaman perniagaan tertunggak, bagaimana Syarikat Minyak Brunei Shell (BSP) menghadapi krisis kejatuhan harga minyak dan bantuan kerajaan terhadap pertumbuhan industri kecil dan sederhana adalah antara beberapa isu yang dijawab oleh Menteri Tenaga dan Perindustrian di Jabatan Perdana Menteri pada sesi petang hari keempat sesi Mesyuarat Pertama bagi Musim Permesyuaratan ke-12 Majlis Mesyuarat Negara yang bersidang, hari ini.

Yang Berhormat Pehin Datu Singamanteri Kolonel (B) Dato Seri Setia (Dr.) Haji Mohd Yasmin bin Haji Umar yang menjawab mengenai urus tadbir DARe berkata, saranan Yang Berhormat Pehin Kapitan Lela Draja Dato Paduka Goh King Chin akan diambil berat dan memberikan penekanan untuk bekerjasama dengan Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan serta agensi berkenaan lain bagi membantu perusahaan tempatan mengakses pasaran antarabangsa melalui perjanjian-perjanjian sedia ada seperti Komuniti Ekonomi ASEAN, Perjanjian Perkongsian Perdagangan Trans Pasifik (TPP) dan BIMP-EAGA.

Ketika menjawab soalan bernotis yang diajukan oleh Yang Berhormat Haji Zulkipli bin Haji Abdul Hamid, beliau menegaskan pandangan untuk mengadakan hab kerjasama dalam kalangan dewan perniagaan dan badan profesional adalah cadangan baik yang akan diteliti.

Beliau menegaskan lagi, DARe yang ditadbirkan oleh ahli dari beberapa dewan perniagaan tempatan diharap dapat membantu dalam penubuhan hab seperti mana yang dicadangkan oleh Yang Berhormat Haji Zulkipli sambil menyarankan agar pejabat urus setia hab tersebut diadakan di Bangunan Kementerian Tenaga dan Perindustrian.

Menjawab persoalan yang dikemukakan oleh Yang Berhormat Dato Paduka Haji Abdullah bin Haji Mohd Jaafar mengenai isu kesejahteraan pekerja tempatan di sektor minyak dan gas beliau berkata, BSP tidak terkecuali daripada menghadapi kesan langsung krisis harga minyak.

Suasana ketika persidangan Majlis Mesyuarat Negara kelmarin.
Suasana ketika persidangan Majlis Mesyuarat Negara kelmarin.

Melalui rancangan perniagaan mereka BSP telah melancarkan dasar-dasar penjimatan dalam menghadapi suasana pasaran minyak yang rendah, antaranya pemulihan strategi korporat bagi memastikan keseluruhan operasi BSP, kos efektif dan kos kompetitif serta menghapuskan sebarang pembaziran.

“Antara yang telah diambil termasuk memberi keutamaan kepada projek yang bernilai tinggi, mengkaji semula semua perbelanjaan untuk memastikan pembekal menawarkan harga paling kompetitif, menangguhkan pelaksanaan projek yang kurang penting dan mengurangkan permintaan perkhidmatan, memaksimumkan penggunaan kapal secara guna sama, mengurangkan perbelanjaan bahan-bahan serta memaksimumkannya, membekukan tawaran pekerjaan baru dan mengurangkan jawatan yang ketika ini tidak diisi.

Menyentuh mengenai jumlah pekerja tempatan berbanding pekerja asing yang masih terdapat di BSP, beliau berkata, pada masa ini BSP sudah mengurangkan jumlah pekerja asing di dalam BSP sebanyak 10 peratus.

Menurutnya, pada masa ini BSP mempunyai seramai 4,347 orang pekerja yang mana 3,686 daripadanya (85 peratus) pekerja tempatan manakala 661 orang lagi pekerja asing.

Beliau seterusnya menjelaskan, setakat ini BSP telah melaksanakan pembekuan jawatan baru dan pengambilan pekerja asing disaring bagi memastikan keperluan dan kesesuaian pekerja asing itu dan belum berhasrat untuk memberhentikan pekerjanya bagi mengurangkan kos perbelanjaan.

Beliau juga berkata, BSP telah mengadakan pengurangan sasaran pekerja asing sebanyak 10 peratus setiap tahun bermula 2015 bagi lima tahun akan datang sebagai sebahagian langkah strategik BSP dalam pengurusan tenaga sumber manusia syarikat itu.

Sesi petang itu juga menyaksikan Yang Berhormat Menteri Pendidikan, Menteri Kesihatan, Menteri-Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan II dan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan mengemukakan jawapan kepada soalan bernotis yang diajukan oleh ahli-ahli Yang Berhormat lainnya.

ARTIKEL YANG SAMA