Hapuskan tembok penghadang kepimpinan lama dan muda

Hapuskan tembok penghadang kepimpinan lama dan muda

TENOM, 14 Ogos – Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa mencadangkan agar sebarang tembok penghadang di antara kepimpinan generasi lama dan muda dalam UMNO dihapuskan bagi memastikan kesinambungan perjuangan parti terus kekal.

Beliau berkata generasi muda UMNO mempunyai pendekatan tersendiri dalam mendepani sebarang cabaran semasa parti dan perlu dilihat secara positif bagi memastikan agenda UMNO terus kukuh dalam sanubari pelapis kepimpinan parti itu.

“Pewaris (generasi muda) ini merupakan pihak berkepentingan bagi memastikan kelangsungan perjuangan sesebuah parti sebesar UMNO, justeru peranan Pemuda dan Puteri UMNO sangat mustahak dan diharapkan mereka akan proaktif tampil ke hadapan dan berjuang.

“Kita juga inginkan supaya (generasi lama UMNO) dapat memahami bahawa pendekatan orang muda kadang-kadang agak berbeza. Kadang-kadang mereka kritikal, suka menegur atau suka memberikan pandangan. Itu tidak harus dipandang serong kerana mereka mempunyai idealisme yang tersendiri,” katanya.

Annuar berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Tenom di sini Ahad, yang turut dihadiri Ketua UMNO Bahagian Tenom Datuk Rubin Balang dan timbalannnya Datuk Raimi Unggi serta Ketua Pemuda UMNO Tenom Jamawi Jaafar.

Beliau berkata sekiranya tembok penghadang antara generasi muda dan lama dalam UMNO dapat dipecahkan, ia sudah tentu akan lebih mengukuhkan UMNO, lebih-lebih lagi dalam berhadapan dengan cabaran parti hari ini.

Annuar turut mengingatkan agar semua anggota dan kepimpinan UMNO benar-benar memahami roh perjuangan parti itu kerana kesinambungan perjuangan UMNO kelak sudah tentu berpaksikan kepada anggotanya yang memahami perjuangan parti itu.

“Jika anggota berjuang hanya untuk kedudukan, dia akan merasa kecewa kerana tidak dapat kedudukan atau habuan, maka mereka akan meninggalkan parti. Ramai yang meninggalkan parti bukan kerana dasar (perjuangan UMNO),” katanya.

“Kita tak mahu anggota parti nampak setia kerana dapat jawatan dan pangkat. (Semasa) Jadi menteri, jadi perdana menteri, bercakap bukan main lagi semangat. Bila hilang sahaja jawatan, dah bertukar wajah jadi lain. Bagi saya itulah satu perkara yang amat malang.

“Kita nak terapkan kefahaman ini kepada anggota UMNO bahawasanya yang penting ialah kepentingan rakyat, negara, orang ramai, bangsa serta agama dan bukan kita nak melayani beberapa individu. Kalau ini dapat diterapkan maka setiap perpecahan akan membawa kekuatan kepada parti,” katanya. – Bernama