Haram meminta jika mampu

Haram meminta jika mampu

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Okt – “Haram seseorang yang mampu bekerja lalu meminta-minta kepada orang lain ataupun berharap kepada orang lain.”

Ketua Pegawai Penyelidikan Ugama di Jabatan Mufti Kerajaan, Dr. Haji Mazanan bin Haji Yusof berkata Nabi Muhammad S.A.W suka kepada orang yang mendapatkan rezeki daripada usahanya sendiri bukan dari hasil meminta-minta atau daripada orang lain dan pengajaran ini menekan supaya jangan meminta-minta atau bergantung harap kepada orang lain.

Di samping itu, tambah beliau, Baginda juga menganjurkan supaya berusaha dan bekerja sendiri, tidak memilih-milih kerja sekalipun mencari kayu api, berusaha untuk mendapatkan modal walaupun sikit, usaha dan pekerjaan itu adalah halal dan pendapatan itu sekalipun kecil asalkan tidak menganggur.

Beliau menekankan perkara ini sebagai salah seorang ahli panel semasa Forum Hijrah sempena Sambutan Awal Tahun Hijrah 1437 anjuran Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) yang berlangsung di Dewan Muhibah, Jabatan Daerah Brunei dan Muara, di sini, hari ini.

Yang Berhormat Pehin Haji Yahya dan Yang Dimuliakan Pehin Haji Awang Halbi antara yang hadir di forum tersebut.
Yang Berhormat Pehin Haji Yahya dan Yang Dimuliakan Pehin Haji Awang Halbi antara yang hadir di forum tersebut.

Hadir selaku tetamu kehormat semasa forum itu ialah Mantan Menteri Perindustrian dan Sumber-sumber Utama, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Utama Dato Seri Setia Haji Yahya bin Begawan Mudim Dato Paduka Haji Bakar.

Turut hadir ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.

Forum tahunan berkenaan, yang membincangkan tema Majlis Sambutan Awal Tahun Hijrah 1437 Peringkat Negara iaitu ‘Berhijrah Untuk Membangun’, turut mengetengahkan dua ahli panel lain iaitu Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-undang Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) Datin Dr Hajah Mariah binti Pehin Datu Pekerma Dewa Dato Paduka Haji Abdul Rahim dan Pemangku Pengarah Pengajian Islam, Hajah Rusita binti Haji Yahya.

Pada forum tersebut, Hajah Rusita telah menjelaskan mengenai makna hijrah dan dalam konteks penghijrahan Rasulullah dengan sahabat, ia bertujuan untuk membangun dan mengubah keadaan manusia dan masyarakat Islam untuk mempertahankan dan menegakkan risalah Allah iaitu aqidah dan syariat Islam.

Beliau menasihatkan supaya semangat Hijrah Nabi wajar dijadikan sebagai prinsip untuk membangun negara, “kita jangan lupa bahawa ada aspek-aspek penting yang perlu dibangunkan iaitu rohani dan spiritual”.

Sementara itu, Datin Dr. Hajah Mariah pula antara lain berkata tema sambutan berkenaan adalah sangat bertepatan kerana objektif daripada Hijrah Rasulullah adalah untuk membangun umat Islam.

“Dalam konteks Brunei Darussalam, Kementerian Perindustrian dan Sumber-sumber Utama dan agensi berkaitan telah memperkenalkan beberapa skim keusahawanan dengan memberikan insentif kepada rakyat yang berhajat untuk menjalankan perusahaan sama ada secara individu, usaha sama dan memajukan diri secara ekonomi dan pada masa yang sama boleh menciptakan peluang-peluang pekerjaan kepada yang lain,” tambahnya.

Perkara yang sama juga telah dilakukan oleh Rasulullah semasa penghijrahan Baginda ke Madinah yang terdiri daripada kaum Muhajirin dan penduduk lain iaitu sebahagian mereka ialah para pedagang dan petani.

Beberapa konsep usaha dan usaha sama telah diajarkan kepada mereka hingga Madinah telah menjadi salah satu kawasan pengeluar kurma terbesar, ujar beliau lagi.

Forum ini diharap dapat memberi peluang kepada masyarakat untuk mengetahui pelbagai aspek kehidupan menurut ajaran Islam, di samping menambah ilmu pengetahuan agama serta mencambah fikiran khusus mengenai tajuk yang dibincangkan.

Ia ini diadakan setiap tahun secara bergilir-gilir di keempat-empat daerah dengan tahun ini giliran di Daerah Brunei dan Muara.