Harapan, aspirasi rakyat ke atas HSR

Harapan, aspirasi rakyat ke atas HSR

SINGAPURA, 8 Jan (Bernama) – “Kereta api laju pasti jadi. Tapi saya pasti Singapura hanya akan bina dari Jurong East hingga sempadan negara sahaja. Selebihnya Malaysia akan bina sendiri.”

“Tak. Mereka akan buat bersama-sama, hingga KL.”

“Saya rasa tren itu hanya bawa penumpang. Bukan barang.” “Ya. Mungkin. Perjalanan 90 minit untuk 300km memang ok.”

Inilah sebahagian perbualan tiga pengguna MRT berusia lebih 50-an mengenai Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura, yang ditunggu-tunggu.

Mereka dipercayai pelancong dari luar Singapura memandangkan kekaguman mereka terhadap perjalanan pertama menggunakan perkhidmatan MRT di sini.

Sebelum itu mereka nampak terkial-kial membaca peta perjalanan pelbagai warna, yang mewakili laluan MRT dan LRT.

Orang ramai tanpa mengira rakyat Malaysia atau Singapura, masing-masing mempunyai harapan dan aspirasi terhadap pembangunan HSR.

Pembeli hartanah kini mungkin memikirkan rancangan untuk membeli hartanah di sepanjang jajaran rangkaian HSR.

Dalam laman web Pihak Berkuasa Tanah Singapura, tertera Jurong Country Club (JCC) di Jurong East sebagai terminal HSR Singapura.

Terminal itu membabitkan kawasan seluas 12 hektar atau kira-kira 20 peratus daripada tapak JCC. Tapak itu juga akan dibangunkan semula secara menyeluruh untuk pembangunan baharu bercampur-campur, selain kemudahan awam untuk penduduk Jurong, penumpang HSR dan pelawat.

Terminal Kuala Lumpur pula ditetapkan di Bandar Malaysia.

MyHSR Corp Sdn Bhd membayangkan perkhidmatan transit akan berhenti di Seremban, Melaka, Muar, Batu Pahat, dan Nusajaya. MyHSR Corp bertanggungjawab memajukan dan mempromosikan projek HSR itu.

Bagaimanapun, jajaran rangkaian HSR antara Singapura dan Kuala Lumpur masih dalam peringkat perbincangan.

Mungkin ada yang merancang mencari pekerjaan yang lebih baik antara kedua-dua negara, kemungkinan dalam tempoh enam tahun akan datang, memandangkan HSR dijadualkan siap pada 2022. Warga Malaysia yang bekerja di Singapura mungkin juga memikirkan alternatif untuk tidak tinggal di Singapura atau Johor Bahru.

Mereka boleh tinggal lebih jauh dari Johor memandangkan kedua-dua negara merancang kemungkinan mengadakan dua perkhidmatan berbeza dalam rangkaian HSR rentas sempadan.

ARTIKEL YANG SAMA