Harapan Butland ke Euro 2016 musnah

Harapan Butland ke Euro 2016 musnah

LONDON, 28 Mac (AFP) – Penjaga gol England, Jack Butland mengalami keretakan buku lali ketika kemenangan 3-2 ke atas Jerman di Berlin, awal pagi semalam menyebabkan harapan pemain Stoke City itu untuk tampil di Euro 2016 lebur.

Pemain berusia 23 tahun itu diturunkan berikutan kecederaan dihadapi penjaga gol utama, Joe Hart dan dia cedera sebelum rehat dan digantikan dengan Fraser Forster.

“Imbasan hari ini mendedahkan saya mengalami keretakan pada pergelangan kaki, ia benar-benar sudah musnah! Saya akan melakukan apa saja yang boleh untuk kembali cergas secepat mungkin,” kata Butland di laman Twitternya.

Forster mungkin akan diturunkan dalam kesebelasan utama menentang Belanda di Wembley, awal pagi Rabu dengan pemain Burnley, Tom Heaton berada di bangku simpanan.

Butland kelihatan kecewa selepas mengalami kecederaan ketika perlawanan persahabatan Jerman menentang England di Berlin. – Reuters
Butland kelihatan kecewa selepas mengalami kecederaan ketika perlawanan persahabatan Jerman menentang England di Berlin. – Reuters

Dengan Euro 2016 akan bermula pada 10 Jun, tempat Butland dalam skuad itu menjadi tanda tanya dan dia akan berehat sepanjang musim di Liga Perdana Inggeris.

“Penjaga gol, Jack Butland akan terlepas perlawanan menentang Belanda di Stadium Wembley selepas mengalami keretakan pergelangan kaki,” kata satu kenyataan daripada Persatuan Bola Sepak England.

“Pemain Stoke City itu mengalami kecederaan pada separuh pertama ketika kemenangan 3-2 ke atas Jerman pada Sabtu di Berlin dan kini sudah pulang ke rumahnya.”