Harapan Chong Wei sedikit cerah

Harapan Chong Wei sedikit cerah

KUALA LUMPUR, 27 Julai – Harapan terbaik Malaysia untuk membawa pulang pingat emas pertama negara pada Sukan Olimpik, Datuk Lee Chong Wei (gambar) boleh menarik nafas lega apabila undian acara badminton Sukan Olimpik Rio sedikit berpihak kepada beliau.

Dalam undian yang dibuat pukul 11 pagi waktu Brazil, Chong Wei selaku pemain nombor satu dunia, diletakkan sebagai pilihan utama diikuti dua musuh tradisinya Chen Long dan Lin Dan dari China yang masing-masing diletakkan sebagai pilihan kedua dan ketiga.

Pemain berusia 33 tahun itu dilihat mempunyai laluan mudah untuk ke separuh akhir apabila diundi dalam kumpulan A bersama pemain di ranking bawah dari Singapura, Derek Wong dan Soren Opti dari Suriname.

Beliau diberikan bye pada pusingan kedua sebelum ke suku akhir untuk berdepan sama ada pilihan keenam dari Taiwan Chou Tien Chen atau Hu Yun dari Hong Kong yang merupakan pilihan ke-10.

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Beijing 2008 dan London 2012 itu bakal berdepan juara bertahan Lin Dan di separuh akhir. Lin Dan diundi dalam kumpulan E bersama Vladimir Malkov dari Rusia, Nguyen Tien Minh dari Vietnam dan David Obernosterer dari Austria.

Lee Chong Wei (kiri) diberi penghormatan menyarungkan jaket rasmi kontinjen Malaysia ke badan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sambil disaksikan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaludin (kanan) semasa mengadakan pertemuan dengan kontinjen Olimpik Malaysia yang akan ke Rio de Janeiro, di Bangunan Perdana Putra semalam. – Bernama
Lee Chong Wei (kiri) diberi penghormatan menyarungkan jaket rasmi kontinjen Malaysia ke badan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sambil disaksikan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaludin (kanan) semasa mengadakan pertemuan dengan kontinjen Olimpik Malaysia yang akan ke Rio de Janeiro, di Bangunan Perdana Putra semalam. – Bernama

Dalam pada itu, seorang lagi jaguh dari China, Chen Long dijangka tidak mempunyai masalah untuk mengungguli kumpulan P, apabila diundi dengan pemain tidak ternama Kevin Cordon dari Guatemala, Andrian Dzolko dari Poland dan Niluka Karunaratne dari Sri Lanka.

Sementara itu, pemain perseorangan wanita negara Tee Jing Yi diundi dalam kumpulan K bersama pemain Jepun Akane Yamaguchi dan Kristina Gavnholt dari Republik Czech.

Dalam acara beregu lelaki pula, pasangan negara Goh V Shem/Tan Wee Kiong diundi dalam kumpulan B, yang dilihat agak sukar bersama pilihan Fu Haifeng/Zhang Nan dari China, Philip Chew/Jamie Subandhi dari Amerika Syarikat, Manu Attri/Sumeeth Reddi dari India dan Michael Fuchs/Johannes Schoettler dari Jerman.

Beregu wanita negara Vivian Ho/Woon Khe Wei pula diundi dalam kumpulan C bersama pasangan Indonesia Greysia Polii/Nitya Krishninda Maheswari, Heather Olver/Aluren Smith dari England dan Poon Lok Yan/Tse Ying Suet dari Hong Kong.

Gandingan Chan Peng Soon/Goh Liu Ying pula diundi dalam kumpulan C acara beregu campuran bersama Tontowi Ahmad/Liliana Natsir dari Indonesia, Bodin Issara/Pakkawatvilailak dari Thailand dan pasangan Australia, Robin Middleton/Leanne Choo. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA