Harapan Euro Rusia terjejas

Harapan Euro Rusia terjejas

MOSCOW, 15 Jun (AFP) – Harapan Rusia untuk melayakkan diri ke Euro 2016 mendapat tamparan semalam selepas pasukan Fabio Capello tewas 1-0 di tempat sendiri kepada Austria.

Penyerang Marc Janko menjaringkan gol tunggal permainan untuk Austria dengan tendangan tinggi yang menakjubkan pada minit ke-33 di Otkrytie Arena Spartak Moscow untuk melanjutkan pendahuluan mereka dalam Kumpulan G.

Selepas enam perlawanan, Austria yang belum pernah tewas meraih 16 mata, tujuh mata di depan Sweden sebelum melayan Montenegro kemudian. Rusia, sementara itu, ketiga dengan lapan mata, tiga mata lebih baik berbanding Montenegro dan Liechtenstein.

Dengan pasukan terbaik tangga ketiga daripada sembilan kumpulan yang layak bersama dengan pasukan teratas daripada setiap bahagian, dan selebihnya masuk ke play-off, tempat Rusia pada pusingan akhir di Perancis tahun depan tidak terjamin.

Tuan rumah Piala Dunia 2018 itu hanya memenangi satu perlawanan dalam kempen kelayakan setakat ini selepas menumpaskan Liechtenstein September lepas.

Reaksi pemain Rusia, Oleg Shatov selepas rembatannya tersasar semasa menentang Austria di stadium Otkrytie Arena di Moscow, semalam. – Reuters
Reaksi pemain Rusia, Oleg Shatov selepas rembatannya tersasar semasa menentang Austria di stadium Otkrytie Arena di Moscow, semalam. – Reuters

Mereka juga telah dianugerahkan kemenangan 3-0 ke atas Montenegro selepas perlawanan di Podogorica Mac terbengkalai kerana penonton mencetuskan kekecohan pada pertengahan babak kedua.

Austria, yang menewaskan Rusia 1-0 di Vienna pada November, datang ke Moscow tanpa bintang Bayern Munich David Alaba yang cedera tetapi rentak mereka bertambah baik ketika hampir melayakkan diri ke kejohanan utama buat kali pertama sejak menganjurkan bersama Euro 2008.

Janko, yang bermain kelab bola sepak Sydney FC di Australia, menerkam kesilapan pemain Rusia yang gagal mengawal keadaan di dalam kotak penalti dengan rembatan tinggi luar biasa melepasi Igor Akinfeev.

ARTIKEL YANG SAMA