Harapan gencatan senjata kian pudar

Harapan gencatan senjata kian pudar

BEIRUT, 16 Feb – Syria menyatakan harapan untuk gencatan senjata hari ini kian pudar selepas berpuluh orang terbunuh dalam serangan udara ke atas beberapa hospital yang disifatkan Perancis sebagai jenayah perang.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata, hampir 50 orang awam, termasuk kanak-kanak terbunuh dalam serangan bom di sekurang-kurangnya lima kemudahan perubatan dan dua sekolah di wilayah Aleppo dan Idlib, dekat utara Syria.

Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon berkata serangan itu melanggar undang-undang antarabangsa dan menyukarkan usaha menamatkan perang saudara selama lima tahun di Syria.

“Serangan ke atas kemudahan perubatan di Syria oleh rejim atau sekutunya tidak boleh diterima dan perlu dihentikan serta merta,” kata Menteri Luar Perancis Jean-Marc Ayrault.

Amerika Syarikat yang turut menyelar serangan itu berkata dua hospital awam dibom masing-masing dikendalikan badan amal perubatan Medecins Sans Frontieres (MSF) di utara Syria dan di bandar Azaz yang dikuasai pemberontak.

Hospital yang musnah akibat serangan yang didakwa dilakukan oleh Amerika Syarikat. – AFP
Hospital yang musnah akibat serangan yang didakwa dilakukan oleh Amerika Syarikat. – AFP

Namun Duta Syria ke Moscow, Riad Haddad, mendakwa hospital berkenaan menjadi sasaran serangan AS.

“Jet pejuang Amerika memusnahkannya. Pesawat Rusia tiada kena mengena dengan serangan ini, dan maklumat yang sudah dikumpul akan membuktikannya,” katanya kepada sebuah stesen televisyen Russia, saluran Rossiya 24. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA