Harapan jambatan baru siap sebelum 15 Julai

Harapan jambatan baru siap sebelum 15 Julai

PADA 24 Jun lalu, selepas selesai menziarahi pusara ayah dan bonda saya di Kubah Makam Maulana Jalan Residency, Bandar Seri Begawan, saya teruskan perjalanan untuk melihat keadaan pembinaan jambatan menyeberangi Sungai Brunei dari Jalan Residency ke Sungai Kebun.

Ianya kelihatan begitu megah dan tersergam indah serta merupakan satu lagi mercu tanda penting di ibu negara selain daripada Masjid Omar ‘Ali Saifuddien dan lain-lain bangunan yang menjadi tarikan pelancong seperti Bangunan Alat-alat Kebesaran Diraja dan lain-lainnya.

Kalau sekali imbas jambatan berkenaan seolah-olah sebuah jambatan di luar negara seper-ti Amerika Syarikat, Jepun dan Australia.

Saya berkesempatan melintasi pejabat tapak projek dan di luar pagarnya berdiri megah papan tanda menunjukan nama pemborong dan lain-lain, serta yang penting ialah tarikh pembinaan (2013) dan tarikh siap ialah pada 25/6/2016.

Bagaimanapun, daripada pemerhatian saya keadaan jambatan ini nampaknya belum lagi siap sepenuhnya dan mungkin akan memakan masa satu atau dua bulan lagi.

Diharapkan jambatan indah ini dapat disiapkan sebelum 15 Julai ini iaitu Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang ke-70 tahun.

Dan jika ia berlaku yakni dapat disiapkan tepat pada 15 Julai 2016, saya berpandangan bahawa amat sesuailah jambatan ini dinamakan Jambatan Sultan Haji Hassanal Bolkiah atau Jambatan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien yang terkenal dengan gelaran Arkitek Brunei Moden.

Jambatan ini merupakan hadiah yang besar kepada rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam khasnya mereka yang tinggal di Mukim Lumapas dan mukim-mukim sekitarnya yang akan memudahkan dan melancarkan perjalanan mereka ke Bandar Seri Begawan tanpa perlu lagi menggunakan Jalan Lumapas dan Jalan Bengkurong menuju ke Jalan Tutong (Bunut) untuk ke BSB.

Difahamkan hampir 11,000 buah kenderaan yang menggunakan jalan-jalan Lumapas dan Bengkurong untuk menuju ke BSB, melalui Jalan Tutong, Jalan RIPAS dan Jalan SOAS. Kita bersyukur kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan mendoakan agar Allah lanjutkan usia Baginda serta kekal karar memerintah Negara Brunei Darussalam.

– Awang Liyah, BSB

ARTIKEL YANG SAMA