Harapan punah, sanak-saudara pilu

Harapan punah, sanak-saudara pilu

JIANLI, China, 5 Jun (AFP) – Sanak saudara penumpang yang hilang selepas kapal pelayaran China karam, melahirkan kepiluan dan kemarahan hari ini selepas seorang pegawai mengakui tiada harapan untuk menemui lebih ramai yang hidup, ketika kren perlahan-lahan mengangkat naik kapal itu dari dalam air.

Hanya 14 daripada 456 orang—kebanyakan pelancong berusia lebih 60 tahun—berada dalam kapal Eastern Star apabila ia terbalik dalam taufan pada malam Isnin, ditemui hidup-hidup.

Sejumlah 97 orang disahkan mati setakat ini ketika kren-kren terapung mula mengangkat naik kapal di mana mayat lebih daripada 340 orang yang hilang mungkin terperangkap di dalamnya.

Penyelamat memutuskan untuk menterbalikkan kapal itu ‘atas pertimbangan asas bahawa tidak ada lagi kemungkinan orang masih hidup,” kata Xu Chengguang, jurucakap kementerian pengangkutan memberitahu satu sidang media lewat semalam.

Dia menambah hari ini kapal itu akan dinaikkan sepenuhnya di atas permukaan air, membolehkan penyelamat mencari di dalamnya.

Pekerja penyelamat menaikkan kapal persiaran Eastern Star di Sungai Yangtze, Jianli, Hubei, 5 Jun. Angka kematian meningkat kepada 97 orang hari ini ketika pihak berkuasa menaikkan kapal dan menterbalikkannya dalam usaha mencari lebih banyak mangsa. – Reuters
Pekerja penyelamat menaikkan kapal persiaran Eastern Star di Sungai Yangtze, Jianli, Hubei, 5 Jun. Angka kematian meningkat kepada 97 orang hari ini ketika pihak berkuasa menaikkan kapal dan menterbalikkannya dalam usaha mencari lebih banyak mangsa. – Reuters

Gao Rufu yang kakaknya berusia 62 tahun adalah antara yang mati memberitahu AFP: “Saya merasa amat sedih, sedih.”

Kemungkinan angka kematian 442 orang akan menjadikan kejadian karam dalam Sungai Yangtze ini bencana terburuk perkapalan dalam hampir 70 tahun.

Laporan memetik saksi mengatakan bot itu terbalik dalam masa seminit dan pegawai cuaca mengatakan taufan pelik melanda kawasan kejadian ketika itu.

Penyelamat menggunakan kren besar pada malam Khamis untuk menaikkan Eastern Star di tapak kejadian di mukim Jianli, wilayah Hubei. Imej-imej dari penyiar kerajaan CCTV hari ini menunjukkan kapal itu sudah dinaikkan namun masih banyak yang tenggelam. Kerja-kerja diteruskan untuk menaikkannya dari dalam air, agensi berita kerajaan Xinhua melaporkan.

Menaikkan kapal 76.5 meter panjang dan 2,200 tan berat itu adalah operasi rumit dan berisiko yang boleh menjejaskan bangkainya. Gambar-gambar pada Jumaat menunjukkan tumpahan minyak di berapa kawasan berhampiran kapal dan Xu mengatakan usaha sedang dibuat untuk mengekang tumpahan.

Dalam tanda tugas sukar di hadapan, seorang wartawan AFP melihat apa yang tampaknya beg penuh dengan mayat dipunggah ke dalam sebuah bot kecil berhampiran kapal dan juga sebuah lagi kapal kecil lain juga dilihat membawa beg penuh mayat.

Maklumat mengenai kapal karam dan akses media ke tapak itu dikawal ketat dan sebarang kritikan online operasi mencari segera dipadamkan.

Sanak saudara penumpang bertempur dengan polis awal minggu ini dan kejadian memaki hamun berlaku pada sidang media rasmi di Jianli hari ini.

ARTIKEL YANG SAMA