Harapan tipis temui mangsa hidup

Harapan tipis temui mangsa hidup

JIANLI, China, 3 Jun (Reuters) – Penyelamat menggeledah kapal peranginan yang karam di Sungai Yangtze hari ini untuk mencari lebih 400 yang masih hilang, kebanyakan mereka orang tua, namun harapan menemui lebih banyak mereka yang masih hidup amat tipis dalam bencana perkapalan yang mungkin terburuk dalam masa hampir 70 tahun.

Televisyen kerajaan menunjukkan penyelamat, sebahagian daripadanya berdiri berhati-hati di atas badan kapal Eastern Star yang terbalik dan berpuluh-puluh lagi penyelam bekerja semalaman.

Hanya 14 orang, termasuk kapten kapal ditemui hidup semenjak kapal itu karam dalam taufan pelik pada malam Isnin bersama 456 orang di dalamnya. Hanya 19 mayat ditemui setakat ini.

Penyelamat tidak kendur-kendur berusaha, meskipun kira-kira 200 penyelam berhadapan kesukaran seperti pintu kabin yang tersekat kerana meja dan katil. Terdapat juga kebimbangan bahawa membuat lubang dengan tergesa-gesa ke atas badan kapal akan menyebabkan gelembung udara yang membolehkan orang ramai hidup, terkeluar.

“Meskipun banyak kerja perlu dilakukan, menyelamatkan orang masih lagi keutamaan,” kata jurucakap Kementerian Pengangkutan Xu Chengguang memberitahu wartawan.

Penyelamat mengangkut jasad mangsa kapal karam Eastern Star di sungai Yangtze di Jianli, wilayah Hubei, 3 Jun. Harapan menemui hidup-hidup mangsa kejadian karam itu semakin tipis hari ini meskipun pihak berkuasa bergelut untuk mencari mereka yang masih selamat. – AFP
Penyelamat mengangkut jasad mangsa kapal karam Eastern Star di sungai Yangtze di Jianli, wilayah Hubei, 3 Jun. Harapan menemui hidup-hidup mangsa kejadian karam itu semakin tipis hari ini meskipun pihak berkuasa bergelut untuk mencari mereka yang masih selamat. – AFP

Namun beberapa sanak saudara sudah pun bersiap sedia menghadapi kemungkinan paling pahit. “Semalam saya masih ada harapan. Kapal itu besar dan air belum lagi masih sepenuhnya. Sekarang, ia sudah lebih daripada 40 jam. Apa lagi yang tinggal?” kata Wang Feng, seorang jurugambar perkahwinan berusia 35 tahun yang bapanya berada di dalam kapal.

Kapal itu dalam perjalanan 11 hari ke hulu sungai dari bandar Nanjing, berhampiran Shanghai ke Chongqing.

Kawasan pencarian sudah diluaskan kepada 220km ke hilir sungai, menurut televisyen kerajaan, mencadangkan bahawa banyak mayat mungkin hanyut jauh dari mana kapal itu karam dalam sungai yang tinggi airnya akibat hujan lebat.

Tiga mayat ditemui 50km jauhnya berhampiran bandar Yueyang di wilayah jiran Hunan, menurut media kerajaan.

Manakala kapten dan ketua jurutera ditahan oleh polis untuk disoal siasat. Satu siasatan awal mendapati kapal itu tidak terlebih muatan dan mempunyai rompi keselamatan mencukupi. Kapal itu terbalik dalam ‘masa seminit atau dua,’ Xinhua memetik kapten sebagai berkata. Dia ditarik keluar dari air berhampiran sebuah jeti sebelum tengah malam pada Isnin.

Sanak saudara mereka yang hilang, marah ke atas apa yang mereka anggap sebagai kekurangan maklumat, bergelut dengan pegawai di Shanghai. Kesemua penumpang menempah tiket perjalanan mereka melalui agensi pelancongan berpusat di Shanghai. Kira-kira dua dozen anggota keluarga, sesetengahnya menangis dan yang lain menjerit ‘bantu kami’ berarak ke jalan-jalan pusat bandar Shanghai menuju ke pejabat utama kerajaan, diperhatikan oleh kontinjen polis yang ramai.

Perdana Menteri Li Keqiang yang berkejar ke tempat kejadian untuk memantau usaha menyelamat, menyeru bagi ‘kemas kini terbaru dan telus’ mengenai operasi menyelamat dan penyiasatan, mengatakan pihak berkuasa mesti memastikan kakitangan dan pembiayaan mencukupi.