Harapan Warisan muncul juara bermukun

Harapan Warisan muncul juara bermukun

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 23 Ogos – Kumpulan Harapan Warisan, pemukun dari Bintulu Sarawak dengan membawa irama Riang Ria telah berjaya memikat hati para hakim sekali gus muncul juara dalam Pertandingan Bermukun yang diadakan sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-69 Tahun, di Padang Bandaran Daerah Belait, baru-baru ini.

Naib juara telah disandang oleh Kumpulan Selindang Sutera Negara Brunei Darussalam A dengan irama Joget Bahagia, manakala Kumpulan Senandong Malam Negara Brunei Darussalam B di tempat ketiga dengan membawa irama Kapal Belayar.

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan hadiah-hadiah kepada para pemenang pertandingan mukun itu ialah, Pegawai Daerah Belait, Haji Haris bin Othman.

Pertandingan mukun anjuran Majlis Perundingan Kampung Pandan A dan Kumpulan Mukun Brunei Darussalam serta kerjasama Jabatan Daerah Belait yang julung-julung kalinya diadakan itu telah menampilkan sebanyak lapan buah kumpulan pemukun pada malam itu.

Pemukun tanah air yang tidak asing lagi, Awang Irwan Rino, semasa membuat persembahan di Pertandingan Bermukun malam kelmarin.
Pemukun tanah air yang tidak asing lagi, Awang Irwan Rino, semasa membuat persembahan di Pertandingan Bermukun malam kelmarin.

Lawak jenaka turut diadakan

Acara tersebut juga disemarakkan lagi dengan beberapa persembahan mukun daripada Juara Pesta Mukun Bekenu 2015, selain persembahan lawak jenaka daripada pelawat tanah air serta persembahan pemukun cilik negara ini.

Antara lain tujuan ia diadakan adalah untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara ahli-ahli jawatankuasa pertandingan dengan para peserta dan para peminat mereka yang sama-sama memeriahkan pertandingan berkenaan.

Secara tidak langsung pertandingan tersebut juga dihasratkan untuk mempertahankan budaya Bermukun tanah air serta untuk menampilkan bakat-bakat baru dalam kalangan generasi muda dan belia.