Harga barangan terkawal dipantau

Harga barangan terkawal dipantau

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 Jun – Peniaga-peniaga yang didapati menjual barangan terkawal melebihi harga maksimum yang ditetapkan oleh Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi (JPKE) sempena bulan Ramadan dan menjelangnya Aidilfitri, akan dikenakan tindakan bersesuaian.

Perkara itu ditekankan oleh Pemangku Ketua Pengarah JPKE, Haji Abdul Amin bin Haji Hashim ketika ditemu bual semasa mengetuai pemantauan mengejut di sebuah pasar raya terkemuka di Tanjung Bunut hari ini yang turut disertai 12 pegawai penguat kuasa jabatan itu.

Menurutnya, pihak JPKE telah bekerjasama dengan Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) bagi menetapkan harga maksimum barangan terpilih seperti daging ayam bulat, telur ayam, mentega, marjerin, minyak sapi, susu pekat, cair dan krim, tepung, sapuan coklat Hazelnut, santan pekat, krim dan serbuk, serbuk udang kering dan kulit popia.

Pihak JPKE melalui Bahagian Kawalan Harga akan melakukan pemantauan berjadual dan mengejut ke atas premis-premis perniagaan dan pasar raya di seluruh negara, namun setakat ini belum ada pekedai yang didapati meletakkan harga melebihi had maksimum yang sudah ditetapkan.

Menurutnya lagi, pihak JPKE tidak dapat membuat pemeriksaan menyeluruh dan untuk itu, mengalu-alukan maklumat dan kerjasama daripada orang ramai untuk sama-sama mengawasi dan melaporkan kepada JPKE jika terdapat peniaga yang menjual barangan terkawal melebih had ditetapkan.

Haji Abdul Amin ketika ditemui semasa pemantauan harga di salah sebuah pasar raya di Tanjung Bunut, kelmarin.
Haji Abdul Amin ketika ditemui semasa pemantauan harga di salah sebuah pasar raya di Tanjung Bunut, kelmarin.
Dua orang penguat kuasa JPKE memeriksa harga barangan yang dikawal.
Dua orang penguat kuasa JPKE memeriksa harga barangan yang dikawal.

Orang ramai boleh membuat aduan dengan menyatakan alamat syarikat, tarikh dan bukti-bukti pembelian seperti resit pembelian atau gambar (jika ada) melalui talian hotline 2230223 pada waktu pejabat atau melalui e-mel kepada aduanpengguna@jpke.gov.bn atau consumercomplaint@jpke.gov.bn, Facebook www.facebook.com/AduanPenggunaJPKE, atau datang terus ke Pejabat JPKE di alamat Bilik 3.04 Tingkat 3, West Wing, Block 2A, Jalan Ong Sum Ping.

Haji Abdul Amin juga menasihatkan orang ramai agar mengamalkan sikap bijak berbelanja dan membuat perbandingan harga sebelum berbelanja.

“Orang ramai yang ingin mendapatkan senarai harga barang-barang yang ditetapkan harga maksimum boleh melayari laman sesawang JPKE di www.depd.gov.bn,” tambah beliau.

Menurutnya lagi, setakat ini syarikat-syarikat perniagaan yang membuat jualan murah pada bulan Ramadan dan musim perayaan yang menjelang tiba adalah 241 buah syarikat, dan ini tidak termasuk cawangan-cawangan perniagaan.

ARTIKEL YANG SAMA