Harga barangan terpilih ditetapkan

Harga barangan terpilih ditetapkan

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Jun – Bagi membantu rakyat di negara ini terutama yang berpendapatan rendah dalam menampung perbelanjaan harian mereka sempena musim perayaan ini, Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi (JPKE), Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan telah menetapkan harga maksimum ke atas beberapa barang makanan terpilih khusus untuk persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri 1437H.

Menurut kenyataan akhbar yang dikeluarkan JPKE hari ini, penetapan harga maksimum ke atas barang-barang makanan terpilih ini yang bermula dari 1 Ramadan 1437H sehingga 7 Syawal 1437H nanti adalah untuk mengawal harga barang-barang makanan terpilih yang merupakan bahan-bahan asas bagi penyediaan makanan semasa bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri.

Barang-barang makanan yang ditetapkan harga maksimum ialah daging ayam bulat, telur ayam, mentega, marjerin, minyak sapi (ghee), susu pekat, cair dan krim, tepung, sapuan coklat hazelnut, santan pekat, krim dan serbuk, serbuk cili udang kering dan kulit popia.

JPKE juga menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mengamalkan sikap bijak dalam berbelanja dan membuat perbandingan harga-harga sebelum berbelanja.

Sebarang maklumat berhubung bara-ngan yang melebihi harga maksimum yang ditetapkan, orang ramai boleh membuat aduan kepada Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi (JPKE) melalui hotline 2230223 semasa waktu pejabat atau e-mail: aduanpengguna@jpke.gov.bn dan consumercomplaint@jpke.gov.bn.