Harga bawang mungkin catat kenaikan

Harga bawang mungkin catat kenaikan

NEW DELHI, 23 Ogos (Bernama) – Kerajaan India mengambil langkah drastik menaikkan harga eksport minimum bawang kepada AS$700 (RM2,870) satu tan untuk menjamin kewujudan bekalannya di pasaran tidak terputus.

Langkah ini mungkin memberi kesan terhadap harga bawang beberapa minggu lagi memandangkan Malaysia mengimport sejumlah besar bawang dari India.

Pada 25 Jun, Kementerian Hal Ehwal Pengguna, Makanan dan Pengedaran India menaikkan harga bawang daripada AS$250 (RM1,025) kepada AS$425 (RM1,742) bagi satu tan metrik.

Dalam kenyataannya, kementerian itu mengumumkan bahawa kenaikan harga bawang berpunca daripada kemerosotan pengeluaran daripada 18.9 juta tan pada 2014-15 kepada 19.4 tan pada 2013-14.

Ini menunjukkan kemerosotan sebanyak 479,000 tan.

Kementerian itu berkata kemerosotan pengeluaran berpunca daripada cuaca buruk, termasuk hujan luar musim yang menjejaskan bekalan bawang sedia ada dan yang baru dituai di pusat pengeluaran utama.

Bagi membendung kenaikan harga komoditi utama, khususnya di ibu negara India ini, Mesyuarat Perundingan Nasional diadakan bai membincangkan langkah mengenakan kawalan harga terhadap komoditi utama, terutama bawang.

Mesyuarat itu juga mengesyorkan tindakan berkesan bagi mencegah perbuatan menyorok barang dan kegiatan pasaran gelap bagi mengawal harga barang makanan.

Dalam perkembangan berkaitan, dengan harga runcit bawang mencecah 100 rupee India (kira-kira RM6) sekilo di beberapa tempat di negara ini, kerajaan India mengambil keputusan mengimport 10,000 tan bawang bagi menstabilkan harga memandangkan cuaca buruk dijangka berlarutan hingga akhir September.

ARTIKEL YANG SAMA