Harga Bitcoin...

Harga Bitcoin merosot

BEIJING, 12 Jan – Harga Bitcoin merosot selepas bank pusat China mengumumkan ia sedang menyiasat perniagaan platform tukaran dalam mata wang alam maya itu.

Bank Rakyat China (PBoC) berkata ia telah menghantar kumpulan pemeriksaan ke beberapa platform perniagaan utama negara di Beijing dan Shanghai.

Tindakan itu, diumumkan semalam, telah menimbulkan kebimbangan Beijing sedang memikirkan satu tindakan keras ke atas unit digital itu sebagai sebahagian daripada kempen memerangi aliran wang ke luar pesisir.

Kebanyakan perniagaan Bitcoin dunia berlaku di China, dan harga naik melebihi AS$1,100 pada awal bulan ini tatkala pelabur mengerumuni mata wang alam maya itu dengan yuan mencecah tahap rendah lapan tahun.

Pengumuman PBoC menyebabkan nilainya menurun, dengan Indeks Harga Bitcoin, merosot lebih daripada 15 peratus kepada tahap rendah AS$752.11 semalam. Hari ini harga berpulih sedikit kepada AS$768.76, masih jauh di bawah tahap tingginya pada minggu lalu.

“China memberi dan China mengambi,” beritahu Gil Luria, penganalisis daripada Wedbush Securities kepada Bloomberg News.

“Pemulihan dalam bitcoin berbanding minggu-minggu sebelumnya mungkin didorong oleh aliran keluar modal China dan spekulasi, yang merupakan sebab kenapa kebimbangan mengenai China mengambil dasar yang lebih kukuh ke atas penggunaan bitcoin mungkin memberi tekanan ke atas harga.”

Siasatan PBoC sedang menyasarkan tukaran mata wang asing, manipulasi pasaran, pembersihan wang dan risiko keselamatan kewangan, kata kenyataan bank. – AFP