Harga emas naik AS$1,300 akhir tahun

Harga emas naik AS$1,300 akhir tahun

KUALA LUMPUR, 15 Jun (Bernama) – Harga emas dijangka naik kepada AS$1,300 seauns daripada AS$1,170 sekarang, menurut Pengurus GFMS Precious Metals Demand Asia, Cameron Alexander.

Beliau berkata, harga logam berharga itu turun naik pada julat yang kecil untuk beberapa ketika dan akan menyaksikan trend menurun dalam masa terdekat di antara AS$1,125-AS$1,130 seauns.

“Tetapi menjelang separuh kedua tahun ini, ada kemungkinan harga akan bergerak lebih tinggi,” katanya pada Persidangan Prestasi Harga Logam Berharga Emas dan Persidangan Prestasi Harga Pasaran Kewangan di sini, hari ini. Alexander memberitahu Bernama, peningkatan harga logam kuning itu akan dipacu oleh perdebatan mengenai kedudukan hutang Greece dan krisis politik di Eropah Timur.

Menurutnya, permintaan terhadap emas sebagai aset selamat dan di pasaran sedang muncul seperti India dan China, iatu pembeli terbesar, akan meningkatkan harga logam berkenaan.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Tomei Consolidated Bhd, Datuk Ng Yih Pyng berkata, kesan cukai barang dan perkhidmatan ke atas harga emas fizikal di negara ini hanya untuk jangka pendek.

Beliau berharap pelanggan akan sedar yang perniagaan memerlukan sedikit masa untuk menyelaras semula harga mereka. Jualan segmen runcit merosot antara 20 hingga 50 peratus kerana pelanggan berhati-hati ketika berbelanja.

Sementara itu, Pengurus Penganalisis dan Strategi The Perth Mint Australia-Gold Corp, Bron Suchecki ketika ditanya sama ada gelembung emas akan berlaku bila-bila masa dalam tempoh enam bulan akan datang berkata, tidak ada alasan kukuh untuk pasaran semasa berubah, melainkan diseret turun oleh krisis di Eropah.

ARTIKEL YANG SAMA