Harga hartanah di China terus meningkat

Harga hartanah di China terus meningkat

BEIJING, 18 April (Bernama) – Harga hartanah di China terus menunjukkan tanda-tanda pemulihan pada Mac, dengan kebanyakan bandar utama mencatatkan peningkatan bulan ke bulan bagi harga rumah baharu, lapor Xinhua News Agency.

Daripada 70 bandar bersaiz sederhana dan besar pada Mac, 62 menyaksikan peningkatan harga rumah baharu dari segi bulan ke bulan, naik berbanding 47 pada bulan sebelumnya, ia memetik Biro Perangkaan Negara (NBS).

Sementara itu, lapan bandar mencatatkan penurunan harga iaitu susut berbanding 15 pada Februari.

Secara tahunan, 40 bandar mencatatkan peningkatan harga rumah baharu dan 29 menyaksikan penurunan pada Mac, berbanding 32 dan 37 pada Februari.

Gambar fail bertarikh 16 April 2016 menunjukkan bangunan kediaman yang baru dibina di Daerah Yuhua Shijiazhuang, ibu kota utara China, wilayah Hebei. – Xinhua
Gambar fail bertarikh 16 April 2016 menunjukkan bangunan kediaman yang baru dibina di Daerah Yuhua Shijiazhuang, ibu kota utara China, wilayah Hebei. – Xinhua

Harga rumah baharu melonjak 62.5 peratus tahun ke tahun di bandar Shenzhen di selatan China, peningkatan paling ketara pada bulan lepas dalam kalangan bandar-bandar utama, diikuti Shanghai, Nanjing dan Beijing, iaitu harga naik masing-masing 30.5 peratus, 17.8 peratus dan 17.6 peratus.

Bandar Dandong di timur laut China mencatatkan penurunan harga sebanyak 3.8 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Harga bagi rumah sedia ada juga terus meningkat pada Mac, dengan 54 bandar mencatatkan harga lebih tinggi dari segi bulan ke bulan dan 13 melaporkan harga lebih rendah.

Xinhua berkata pasaran rumah di China mula pulih pada separuh kedua tahun lepas selepas sektor tersebut lembap selama lebih setahun, didorong oleh langkah-langkah sokongan kerajaan, termasuk pengurangan kadar faedah dan syarat deposit yang lebih rendah.

Pada Februari, cukai ke atas sebahagian urus niaga rumah dikurangkan dan pengurangan seterusnya kepada bayaran pendahuluan yang minimum bagi pembeli rumah kali pertama dan kali kedua yang layak diumumkan.