Harga minyak Asia kekal di bawah AS$50

Harga minyak Asia kekal di bawah AS$50

SINGAPURA, 23 Julai – Harga minyak bercampur di Asia hari ini, dengan WTI mencecah kurang daripada AS$50 satu tong selepas satu pertambahan dalam simpanan stok Amerika Syarikat (AS) menambah lagi kebimbangan mengenai kemelesetan bekalan, kata penganalisis.

Jabatan Tenaga AS semalam berkata simpanan stok minyak mentah komersial negara meningkat 2.5 juta tong pada minggu lalu, manakala bekalan di pusat Cushing, Oklahoma naik 800,000 tong.

Laporan juga menunjukkan pengeluaran AS kekal pada tahap kira-kira 9.6 juta tong sehari, berita buruk untuk pasaran yang telah pun dibanjiri dengan minyak mentah daripada Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC). Dalam perniagaan tengah hari di Asia, minyak AS West Texas Intermediate (WTI) untuk hantaran pada September naik tujuh sen pada $49.26 setelah ditutup semalam kurang daripada AS$50 satu tong untuk kali pertama sejak April.

Minyak mentah Brent untuk September merosot lapan sen kepada AS$56.05.

“Inventori AS berkembang lebih daripada dijangka, yang memburukkan lagi masalah bekalan berlebihan, terutamanya apabila Saudi sedang mengepam pada tahap pengeluaran yang tinggi,” kata Bernard Aw, ahli strategi pasaran di IG Markets Singapura.

“OPEC menghasilkan 32.1 juta tong sehari pada Jun, dengan pertambahan terbesar datang dari Iraq dan Arab Saudi. Ia adalah 2.1 juta lebih banyak daripada apa yang dikatakan oleh pertubuhan akan dikekalkan,” kata Aw dalam satu ulasan pasaran. Mata wang AS yang kukuh juga memberi tekanan ke atas minyak. Dengan komoditi tersebut dijual dalam dolar, ia menjadi lebih mahal untuk pemegang mata wang yang lebih lemah, sekali gus menjejas permintaan.

“Kenaikan terbaru dalam dolar memberikan satu lagi tekanan kepada minyak mentah. Kini ia nampak seperti minyak mungkin diniagakan lebih rendah, dengan harga rendah pada Mac sebanyak AS$42 – AS$45 menjadi tumpuan,” kata Aw. Jangkaan bahawa bank pusat AS akan menambah kadar faedah pada tahun ini telah merangsang dolar tatkala pelabur menyokong mata wang tersebut dalam harapan untuk mendapatkan pulangan yang lebih baik. – AFP